MENJELANG tiga hari lagi sebelum ke pentas akhir Piala Malaysia 2023, penyokong tegar tulang belakang Terengganu FC yang dikenali sebagai Mohd Arif amat bersemangat untuk turun memberi sokongan terhadap pasukannya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8 Disember ini.
Penyokong berusia 38 tahun ini juga mengkhabarkan bahawa lebih 100 buah bas yang akan membawa peminat-peminat dari Terengganu untuk sama-sama memberi sokongan padu kepada wira-wira ‘Sang Penyu’ sejurus menjadi saksi kemenangan yang mungkin berpihak buat skuad kegemaran mereka.
Terengganu FC selaku naib juara Piala Malaysia pada musim lalu pastinya ingin menebus kesilapan mereka pada tahun ini dan Arif sebagai penyokong yang sudah lama aktif sejak 15 tahun lalu turut berkongsi keinginan yang sama.
Walau bagaimanapun, Arif jelas dengan situasi perlawanan akhir yang berbeza dengan aksi-aksi biasa sebelum ini dimana saingan yang akan diberikan oleh pihak lawan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pastinya akan mencabar rentak permainan pasukan Terengganu.
“Kita tahu JDT memang satu pasukan yang kuat dan dari segi pemain mereka pun ramai yang bagus dan naturalisasi. Tetapi kita harus ketepikan pemikiran ini dan lawan tetap lawan.
“Saya cuma berharap agar barisan pertahanan lokal kita seperti Syahmi Zamri, Engku Shakir akan menonjolkan aksi yang ‘gila-gila’ kerana kita tahu pertahanan lokal Terengganu antara yang terbaik di Malaysia.
“Oleh kerana kualiti permainan mereka yang cukup baik, mereka boleh duduk sebaris dengan pemain import yang lain kerana pemain import selalunya yang akan atur strategi dan penyudahnya kepada lokal.
“Jadi, dua pemain harapan pilihan saya untuk perlawanan nanti saya nak pilih seorang lokal iaitu Syahmi Zamri dan juga import kita, Sony Norde,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Tidak mustahil buat skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner ini menghasilkan satu tentangan yang hebat dari bakat pemain-pemain muda mereka dan membawa semangat juang dari penyokong tegar ke perlawanan akhir nanti.
“Piala Malaysia ini piala tertua dan saya percaya pasukan Terengganu boleh menang walaupun secara penalti atau menang 1-0 ia tetap menang dan itu keputusan paling diidamkan,” tambah Arif.
Sementara itu, jika mengulas soal pentadbiran mahupun pengurusan kelab bola sepak, JDT memang paling gah dihadapan dan perkara itu turut disokong oleh penyokong Terengganu tersebut.
Arif cuba meletakkan faktor kemajuan dan kemenangan yang diraih sesebuah pasukan adalah dari segi ekonomi kelab itu sendiri tetapi ianya kadang-kala tidak menjamin kecemerlangan skuad juga.
Menurutnya, ada pemain bergaji rendah yang lebih berkualiti daripada pemain bergaji tinggi dan soal kewangan kelab ini sebenarnya perlu dirancang dengan sebaik mungkin.
Info tambahan buat penyokong-penyokong Terengganu FC, MFL telah menawarkan pelan terbaik buat mereka yang ingin menaiki bas ke Kuala Lumpur.
Berikut adalah jadual perjalanan bas dari Pantai Timur ke Kuala Lumpur yang menjadi pilihan buat semua penyokong untuk hadir ke SNBJ pada 7 & 8 Disember: