TEKA-TEKI berhubung pemain import baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Jalil Elias, terjawab selepas pengendalinya, Esteban Solari mengesahkan pemain import dari Argentina itu akan bersama skuad Harimau Selatan pada musim depan.

Solari juga mengesahkan dia mahu sekurang-kurang tiga atau empat lagi pemain import dibawa masuk namun identiti mereka masih belum didedahkan dan semuanya bergantung kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang akan membuat penilaian.

“100 peratus Jalil Elias akan beraksi untuk JDT dan dia sudah lulus ujian perubatan dan akan menyertai keluarga ini bagi membantu pasukan ini untuk menjadi pasukan yang lebih baik,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan menentang Penang FC.

Dia juga turut menjelaskan mengapa dia memilih Elias untuk menyertai JDT kerana ketika dia mula sampai ke Johor, dia tidak dapat menggunakan khidmat Natxo Insa akibat kecederaan dan memakan masa untuk kembali berada di prestasi terbaik selepas 10 bulan namun Shio Hong Wan berjaya memberi impak positif bagi mengisi posisi tengah.

“Dengan adanya Jalil di tengah yang akan bergandingan bersama Hong Wan, maka barisan tengah akan lebih konsisten memandangkan pengalaman pemain dari Argentina itu yang memiliki kualiti dan karektor untuk mengemudi bahagian tengah.

“Walaupun kami ada Leandro tapi dia masih menjalani proses pemulihan dan perlu dipantau maka kehadiran Jalil amat penting bagi menguatkan posisi tengah selain dia boleh beraksi selaku perancang dan `defensive midfield‘, jelasnya.

Solari juga berkata, dalam sukan bola sepak apa jua pencapaian yang terhasil sebelum ini sememangnya agak sukar untuk mengekalkan konsistensi dan dengan adanya pemain baharu maka prestasi juga harus digandakan kerana standard semakin tinggi.

Ditanya mengenai status Akhyar Rashid dan Heberty Fernandes yang dikatakan bakal berhijrah, Solari dengan tenang menjawab betapa dia mahu mengekalkan Akhyar dan Heberty yang memainkan peranan penting dalam skuad JDT.

“Saya mahu kekalkan Akhyar kerana dia adalah ‘game changer‘ dalam setiap perlawanan apabila dimasukan pada aksi kompetitif tapi terpulang kepadanya malah kami juga mahu kekalkan Heberty kerana dia adalah pemain yang baik dan bekerja keras membantu pasukan pada separuh musim ini dan saya mahu dia kekal dalam pasukan ini.

“Kami mahu mengekalkan pemain yang ada di JDT tapi bergantung kepada mereka kerana kelab ini tidak menjanjikan kesebelasan utama dalam setiap aksi diharungi dan pemain harus kekalkan momentum dan bersaing dengan standard yang tinggi,” katanya.

JDT menamatkan musim Liga Super 2023 dengan rekod tanpa kalah dalam 26 perlawanan, menjaringkan 100 gol dan bolos hanya 7 gol selain mencipta gemilang memenangi kesemua piala domestik yang dipertandingkan.