HASRAT Terengganu FC (TFC) mengejutkan Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak kesampaian selepas tunduk 1-3 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.

Lebih malang lagi buat Sang Penyu apabila menamatkan permainan dengan sembilan pemain gara-gara layangan kad merah ke atas Argzim Redzovic dan Ivan Mamut pada babak kedua.

Awal permainan menyaksikan TFC terlebih dahulu menguji Ahmad Syihan Hazmi di pintu gol JDT hasil rembatan jarak dekat Sony Norde minit ke-17 yang sedikit tinggi daripada sasaran.

Hampir 11,000 penonton kemudian dipukau penjaring terbanyak Liga Super, Fernando Forestieri apabila bola sepakan guntingnya dari luar kotak menerjah jaring untuk gol pembukaan minit ke-21.

Seminit berselang TFC cuba melawan apabila bola hantaran Argzim Redzovic singgah di kaki Engku Nur Shakir Engku Yaacob namun kuisan pemain tengah itu gagal menewaskan Ahmad Syihan.

Sang Penyu akhirnya berjaya mengikat jaringan 1-1 pada minit ke-28 hasil sepakan percuma menarik Norde dari jarak 25 meter sekaligus membawa TFC kembali dalam permainan.

Kedudukan itu tidak bertahan lama setelah Bergson Da Silva menyudahkan sepakan penalti berpunca kekasaran ke atas Arif Aiman Hanapi dalam masa tambahan babak pertama.

Nasib malang menimpa TFC setelah Redzovic diarah keluar padang pada minit ke-52 sebelum nasib sama dialami Ivan Mamut (m-74) yang mengasari Feroz Baharuddin.

Endrick Dos Santos kemudian menambah luka Sang Penyu hasil tolakan mudah dari dalam kotak penalti dalam masa kecederaan untuk memastikan kemenangan 3-1 memihak JDT.