PENJAGA gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Ahmad Syihan Hazmi tidak dapat menyembunyikan rasa syukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada pemilik pasukan, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta rakan-rakan sepasukan yang membantunya mencatatkan 12 ‘clean sheet’ daripada 13 perlawanan pusingan pertama Liga Super musim ini.

Dia yang beraksi dalam musim pertama bersama Harimau Selatan selepas berhijrah dari Negeri Sembilan turut mengakui terdapat banyak perbezaan dari segi latihan bersama jurulatih penjaga gol, Jon Elorza Dominguez yang mementingkan fokus dalam latihan dan perlawanan.

“Sebagai pemain Syihan bersyukur sangat-sangat dengan rezeki yang Allah bagi. Berterima kasih juga pada Tunku Mahkota Johor dan juga kepada semua player JDT yang banyak bantu Syihan mencatatkan keputusan cemerlang setakat ini.

“Terima kasih kepada semua pemain bukan sahaja di barisan pertahanan tetapi di semua bahagian yang banyak membantu. Latihan bersama jurulatih penjaga gol di sini sangat berbeza dan Syihan kena sentiasa fokus dan beri 100 peratus dalam latihan dan perlawanan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Menjawab soalan FLASH SUKAN sama ada kejayaan ini menambah tekanan atau keyakinan pada dirinya, Syihan menganggap ianya adalah rezeki dan dia perlu mengawal tekanan yang hadir selepas ini.

Dia juga dilihat begitu cepat meleraikan pergaduhan yang hampir tercetus di kawasan tengah padang akibat perlawanan yang sedikit ‘panas’ dan berharap rakan-rakan sepasukannya dapat mengulangi pencapaian cemerlang pada pusingan kedua nanti.

 

“Tahun pertama saya di JDT, Syihan bersyukur dengan rezeki ini dan sudah pasti ada tekanan tetapi sebagai pemain saya kena hadapi perkara itu dan kawal tekanan dan tingkatkan keyakinan diri setiap kali beraksi.

“Tiada provokasi cuma Syihan cuba melindungi rakan sepasukan daripada pergaduhan kerana kami mempunyai jiwa sebagai satu pasukan. Atas semangat inilah pasukan akan lakukan lebih baik dan beri lebih lagi pada pusingan kedua,” tambahnya.

Sementara itu, Syihan juga memberitahi dia sudah bersedia sekiranya dia sekali lagi terpilih dalam senarai skuad kebangsaan untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea di Kuala Terengganu.

“InshaAllah jika saya terpilih ke skuad kebangsaan, saya akan berikan yang terbaik meskipun kita tidak mengetahui banyak tentang pasukan lawan kali ini tetapi sebagai pemain siapa pun kami berjumpa kami kena hadapi dan bersedia dari sudut mental dan fizikal. Jika ada rezeki kita akan berjaya,” tambahnya.

Kekuatan benteng JDT tidak dapat disangkal apabila hanya dibolosi sekali menerusi sepakan penalti dan berjaya mengekalkan ‘clean sheet’ dalam sembilan perlawanan berturut-turut.