PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) gembira dengan sambutan terhadap jualan tiket yang dilihat memberangsangkan bagi aksi Kumpulan B antara Harimau Malaya dan Laos untuk Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Berbaki lima hari menjelang aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, 12,000 keping tiket sudah dijual secara atas talian dan angka ini dijangka meningkat selepas aksi pertama skuad kebangsaan menentang Myanmar di Yangon pada Rabu.

Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman yang ditemui media ketika menghantar skuad kendalian Kim Pan-gon berlepas ke Yangon di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Noor Azman turut menyeru kepada penyokong Harimau Malaya supaya datang beramai-ramai ke stadium bagi memberikan sokongan selepas FAM mendengar keluhan penyokong dan menurunkan harga tiket perlawanan.

Dia juga berharap pasukan kebangsaan kali ini mampu untuk melangkah dengan lebih jauh di kejohanan kali ini bagaimanapun dia tidak meletakkan sebarang sasaran khusus namun percaya bahawa semangat yang dimiliki anak-anak buah Kim Pan Gon mampu membawa Harimau Malaya ke tahap yang lebih baik.

“Itu adalah harapan FAM selepas kita sudah turunkan harga tiket dari RM50 ke RM45 hingga ke RM30. Presiden sememangnya memahami denyut nadi masyarakat kita terutamanya di kalangan golongan B40.

“Setelah mendengar pelbagai pandangan kita bersetuju menurunkan harga, kita harap peminat dapat penuhkan stadium untuk perlawanan menentang Laos pada 24 Disember,”

“Semestinya harapan kita tinggi, kita akan berusaha sebaik mungkin dan saya yakin dengan kejurulatih serta pemain.Tidak mustahil mereka akan pergi lebih jauh,” katanya kepada media.

Skuad Harimau Malaya berlepas ke Yangon untuk menghadapi perlawanan pembukaan Kumpulan B sebelum menghadapi Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil di hadapan penyokong sendiri.