SEBANYAK 16 pasukan bakal memberi saingan dalam Selangor Champions League (SCL) 2022 bermula 8 hingga 10 Oktober ini.
Sebelum ini, mereka telah dibahagikan ke dua kumpulan selepas pengundian Selangor Champions League (SCL) 2022 pada hari Ahad lepas di Sunway Resort & Spa.
Lapan pasukan dalam setiap kumpulan akan bermain tujuh perlawanan di mana empat pasukan teratas akan layak ke suku akhir.
Daripada 16 pasukan, 10 pasukan akan bertanding dalam SCL untuk kali pertama dalam sejarah kelab mereka manakala dari enam pasukan yang kembali, hanya NPNG Damansara Perdana dan Belia Selangor tidak bersaing pada edisi lepas.
Empat pasukan yang lain, Naib Juara SCL 2021 KRU Port Klang, MPKJ, Kelana United dan Kajang Bujangga melengkapkan barisan pasukan untuk SCL tahun ini.
Keputusan undian SCL 2022 menyaksikan kumpulan A disertai NPNG Damansara Perdana, MBPJ, Sijangkang City, KRU Port Klang FC, Kajang Bujangga, Gamestop Alam Megah, OSV Ampang, Belia Selangor
Manakala Kumpulan B pula meletakkan MPKJ, Rawang Mozyda, Najmi SFFC Kota Damansara, Kelana United, Ingress KL, Bandar Putera 2, Nossa Bukit Jelutong dan MP Sepang.
Terdahulu, beberapa anugerah bagi SCL 2021 Fans’ Choice telah diberikan, iaitu Coach Of The Season, Young Player Of The Season dan Goal of The Season yang diundi oleh penyokong.
Fairuz Montana dari Kelana United memenangi ‘Coach Of The Season, manakala Iman Rais dari Perlima United dianugerahkan sebagai ‘Young Player Of The Season’.
Pemain SA Klasiko FC, Denial Haziq merangkul anugerah ‘Goal Of The Season’ selain Mohd Afiq B Nazir, yang juga merupakan pengadil ketika SCL 2021 telah dianugerahkan FAS Referee Committee Award yang dipilih oleh Jawatankuasa Pengadil FAS atas komitmen dan prestasi baik sepanjang kempen SCL 2021.
SCL kini memasuki edisi keenam merupakan platform yang mengumpulkan pasukan-pasukan amatur terbaik daripada komuniti bola sepak akar umbi negeri Selangor.