SAINGAN Liga A2 Amateur Al-Ikhsan Cup 2024 yang lebih kompetitif dan berkualiti bakal membuka tirai saingan pada 19 Julai 2024 dengan penyertaan 16 pasukan bagi memburu gelaran kejuaraan.

Kejohanan yang dibahagian kepada tiga zon iaitu Zon Utara, Zon Tengah / Selatan dan Zon Pantai Timur itu dijangka akan tamat pada penghujung Disember 2024 dengan juara pertama akan ditabalkan.

Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menyatakan sebanyak 16 pasukan telah mengesahkan penyertaan beraksi dalam saingan Liga A2 Amateur Al-Ikhsan Cup 2024.

Datuk Wira Yusoff umum 16 pasukan bakal hiasi saingan Liga A2 Amateur Al-Ikhsan Cup 

“Pasukan-pasukan tersebut adalah Guar Syed Alwi FC, Pencintasetia FC, Kuala Muda FA, KGKU FC, NBK Empire FC, Gombak City FC, SJ Virtuosos FC, SAMB FC, Real Mambau FC, BR United dan Semantan Troopers FC.

“Empat pasukan sedia ada yang akan terus bersaing adalah JAKIM FC, MPPD FC, MAHSA United FC dan WTS FC manakala satu pasukan yang diturunkan dari MBSB Bank Championship 2023 iaitu Naga Ultimate KS FC yang kini dikenali sebagai AAK Ultimate FC,” katanya.

Yusoff juga turut menjelaskan bahawa penyertaan pasukan-pasukan dari Zon Borneo ditangguhkan sementara disebabkan jumlah pasukan yang tidak mencukupi untuk pertandingan dilangsungkan.

Logo 16 pasukan yang bersaing di Liga A2 Amateur Al-Ikhsan Cup

“Selain itu, pertembungan dengan kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 serta kekangan stadium adalah antara faktor utama Zon Borneo ditangguhkan seketika,” jelasnya.

Kedudukan pasukan dalam zon masing-masing hanya akan diumumkan semasa taklimat yang akan diadakan pada 6 Julai 2024.

Pada kejohanan Al-Ikhsan Cup 2023 musim lalu, gelaran kejuaraan menjadi milik UiTM United selepas menewaskan YPM FC, 2-1 pada aksi final yang dijalankan di Stadium UiTM, Shah Alam.