DUA minggu selepas berakhir musim Netball Super League (NSL) 2022 yang gemilang, skuad bola jaring kebangsaan kembali berkumpul untuk fasa latihan ketiga bermula semalam di Stadium Juara Bukit Kiara.
Meskipun tidak dapat menyambut Aidiladha bersama-sama keluarga, ianya bukan penghalang buat 16 pemain untuk melapor diri dan mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Kejohanan Bola Jaring Asia 2022 di Singapura dari 4-11 September nanti.
Enam pemain dari KL Wildcats, empat dari Johor Jewels, dua dari Selangor Angels manakala masing-masing satu dari Perak Phoenix, Pahang Tulips, Melaka Mystic dan Negeri Sembilan Venom telah dipilih berdasarkan persembahan mereka ketika NSL tempoh hari.
Ketua skuad kebangsaan, Lisa Ann Beehaq menjelaskan bahawa fasa latihan ketiga ini lebih memfokuskan kepada latihan taktikal kerana sudah hampir tiga tahun mereka tidak bertanding di peringkat antarabangsa ekoran penularan pandemik Covid-19.
Beehaq juga meletakkan sasaran untuk Malaysia mengulangi pencapaian 2016 dengan muncul juara seterusnya layak ke Piala Dunia Bola Jaring yang bakal berlangsung di Afrika Selatan pada 28 Julai hingga 6 Ogos 2023 di Cape Town, Afrika Selatan.
Pada edisi 2018 yang juga dilangsungkan di Singapura, Malaysia mendapat tempat ketiga selepas menewaskan Hong Kong 52-46 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat manakala Singapura kedua dengan Sri Lanka muncul sebagai juara.