DERETAN peluang terutamanya di babak pertama dimiliki Selangor FC tetapi semuanya gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.
Hakikat ini diakui oleh ketua jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner yang menyifatkan Sri Pahang FC berhak keluar sebagai pemenang pada aksi pusingan kedua Liga Super di Kuantan.
“Seawal minit pertama lagi kami perlu jaringkan gol. Malah, pada 20 minit awal banyak peluang terhidang tapi inilah bola sepak dan saya dah lebih 30 tahun berkecimpung dunia bola sepak profesional.
“Ada sahaja peluang tapi malangnya tak dapat skor termasuk pemain simpanan pun gagal nak tukar kepada bentuk jaringan dan Pahang pula melakukannya dengan lebih baik, jadi kita terlepas perlawanan ini,” katanya.
Kekalahan itu menyebabkan Merah Kuning tergelincir di kedudukan keenam liga dan akan bertemu Negeri Sembilan FC di Petaling Jaya pada Ahad.
Selepas itu, Selangor bertandang ke Gong Badak bagi perhitungan aksi separuh akhir Piala FA menentang Terengganu FC, 6 Ogos ini.