MALAYSIA Truly Asia Tourism Golf Challenge 2023 telah menarik lebih daripada 200 pemain golf tempatan dan antarabangsa pada 25 Oktober lalu di Saujana Golf & Country Club (SGCC), Subang.

Kejohanan yang berlangsung itu sekaligus menyambut ulang tahun ke-50 Tourism Malaysia dan menariknya, hadiah keseluruhan yang ditawarkan kepada peserta adalah bernilai RM500,000.

Seterusnya, Koperasi Kakitangan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Berhad (Koppema) bersama lebih daripada 40 organisasi telah bersama-sama menjayakan kempen kejohanan ini dan menjadi rakan kongsi strategik serta penaja.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar yang turut hadir ketika kejohanan menyatakan bahawa kejohanan ini merupakan peluang emas untuk Tourism Malaysia mempromosikan negara sebagai destinasi golf utama.

“Para pemain golf tidak perlu pergi jauh untuk mencari pengalaman golf baharu, dengan lebih daripada 200 padang golf di seluruh negara.

“Budaya rakyat Malaysia yang pelbagai, sejarah yang kaya, padang golf yang cantik, pilihan makanan yang menakjubkan, dan tarikan semula jadi yang indah pastinya akan menjadi kenangan yang kekal untuk dibawa pulang.

“Malaysia juga pernah menjadi tuan rumah Kejohanan Golf Piala Dunia di mana bekas pemain nombor satu dunia, Tiger Woods, dan pemain legenda, Mark O’Meara, pernah bermain di Mines Golf Resort and Country Club,” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang di hotel SGCC.

Tambahan beliau, “Kepada pemenang malam ini, tahniah dan berjumpa lagi.

Kepada mereka yang tidak berjaya kali ini, kami berharap anda akan pulang dengan pengalaman percutian yang tidak dapat dilupakan di Malaysia dan kembali pada tahun hadapan untuk bersaing lagi,” ulasnya.

Dalam pertandingan Malaysia Truly Asia Tourism Golf Challenge 2023, Mohd Nasir Othman dari Melaka muncul juara ‘gross’ selepas merekod 72 pukulan keseluruhan dan beliau berjaya membawa pulang sebuah jam tangan berjenama Fateh bersama piala.