DIANGGARKAN lebih 20,000 pemain industri sukan elektronik berkumpul pada Festival e-Sukan 2023 yang dianjurkan pembina permainan video, Nimbus Games Sdn Bhd bermula 25 November ini.

Acara yang dijadual berlangsung selama dua hari di Sunway Geo Avenue itu, menyediakan pelbagai aktiviti antaranya pertandingan permainan video seperti PUBG Mobile, Mobile Legend: Bang Bang, Valorant dan Takken yang dijangka bakal disertai 120 pasukan seperti Team Haq, Homebois dan Todak bagi merebut hadiah keseluruhan RM30,000.

Ketua Pengeluar Nimbus Games, Joseph Teng Tze Luen berkata, penganjuran festival itu bertujuan menyediakan pentas membangunkan bakat sukan permainan video, selain melahirkan bakat baharu bukan sahaja sebagai pemain tetapi juga pembina permainan video.

Bagi merancakkan lagi acara, penganjur menyediakan aktiviti lain seperti zon permainan video retro, sudut ‘cosplay’, cenderahati retro di samping menyediakan pelbagai gerai minuman dan makanan.

“Ini kali pertama festival terbesar seumpamanya dianjurkan. Kami berharap ia akan menjadi acara tahunan dengan sokongan kuat diberikan Kementerian Belia dan Sukan serta Persatuan Esports Malaysia (MESF).

“Festival ini akan menghimpunkan penggiat sukan permainan video termasuk pemain, pembina, pengeluar dan juga pengulas permainan video di seluruh negara dalam satu acara,” kata Joseph dalam sidang media.

Sementara itu, Joseph yakin populariti sukan permainan video semakin meningkat di peringkat global dan Malaysia tidak juga kurang hebatnya apabila berjaya memenangi pingat perak di Sukan Asia Hangzhou, baru-baru ini.

“Ini membuktikan bahawa negara kita juga mempunyai pemain bertaraf antarabangsa dan mampu bersaing di pentas antarabangsa jika diberikan pendedahan dan sokongan semua pihat terbabit.

“Peningkatan minat dalam kalangan belia Malaysia juga memberikan keyakinan bahawa festival ini boleh menjadi satu medan untuk mengetengahkan bakat baharu dalam sukan ini.

“Kita perlu mempunyai pelapis dan mencari bakat baharu, justeru festival ini dilihat sebagai satu cara positif untuk memperkenalkan sukan permainan video kepada ibu bapa yang mungkin skeptikal terhadapi potensi sukan ini,” katanya.