TAHUN 2023 boleh dianggap sebagai tahun yang cukup cemerlang buat skuad bola sepak kebangsaan apabila tampil bergaya dengan permainan yang bermutu dan berjaya mengembalikan semula keyakinan penyokong terhadap pasukan Harimau Malaya.

Beraksi dalam 10 perlawanan dalam kalendar Fifa di lima venue berbeza tidak menjadi penghalang buat anak-anak buah Kim Pan-gon yang dilihat semakin lengkap dengan gabungan pemain tempatan, warisan dan naturalisasi menjelang kempen Piala Asia 2024 yang berlangsung di Doha pada Januari.

Daripada jumlah 10 perlawanan itu, Malaysia mencatat tujuh kemenangan, dua seri dan hanya satu kekalahan yang juga menyaksikan ranking Harimau Malaya melonjak 15 anak tangga ke ranking 130 berbanding 145 pada Disember 2022.

Pelbagai faktor menyumbang kepada kecemerlangan skuad kebangsaan pada 2023 dengan pendekatan bola sepak moden selain penglibatan ramai pemain negara di kejohanan kelab Asia membantu prestasi mereka di dalam padang.

Bermula daripada sokongan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kurniaan Tunku Mahkota Johor (TMJ), peningkatakan nilai liga oleh Malaysia Football League (MFL), kerjasama semua kelab, kerja keras barisan kejurulatihan, kesungguhan pemain dan sokongan penyokong menjadi pemangkin kejayaan Harimau Malaya ketika ini.

Sikap percaya kepada kemampuan diri sendiri yang diterapkan Kim Pan-gon kepada pemain juga dilihat kini menjadi faktor utama para pemain berani bermain bola sepak yang dimahukan barisan kejurulatihan tanpa mengira status atau ranking pasukan lawan.

Aksi persahabatan di China menampilkan ciri kekuatan mental apabila bangkit selepas ketinggalan dua gol kepada Syria sebelum mengikat China hingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan tidak percaya dikalangan ribuan penyokong lawan yang hadir.

Namun begitu, disebalik kepercayaan dan rasa percaya diri ini, skuad Harimau Malaya masih gagal menamatkan kemarau piala apabila tidak berjaya menjuarai Pestabola Merdeka yang kembali diadakan selepas 10 tahun meskipun berjaya membenam India pada perlawanan pertama sebelum disekat Tajikistan pada aksi final.

Kekalahan itu bagaimanapun boleh dianggap sebagai kesedaran buat pasukan kebangsaan apabila kembali bangkit dengan kejutan ketika aksi Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Bukit Jalil dan Taipei menjadi saksi kebangkitan Harimau Malaya apabila Malaysia berjaya memenangi dua perlawanan awal pusingan kelayakan sekaligus mendahului carta Kumpulan D yang turut mendapat perhatian badan induk bola sepak dunia, Fifa.

Momentum kejayaan demi kejayaan yang dicapai pada 2023 ini diharap dapat dikekalkan pada Piala Asia nanti yang boleh dianggap sebagai ujian sebenar Harimau Malaya berhadapan Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.

Semoga Harimau Malaya dapat menggegar di Piala Asia sekaligus membuka mata banyak pihak tentang kemampuan pasukan kebangsaan dan menarik lebih banyak minat dan kerjasama demi masa depan yang lebih gemilang.

Selamanya Harimau Malaya.