KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) berusaha mencari jalan terbaik berhubung isu 21,00 tiket yang terpaksa dikorbankan pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 membabitkan Harimau Malaya dan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Sabtu.

Begitupun, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, pihaknya belum dapat memberi jawapan sama ada tiket yang dikorbankan itu akan dapat diserahkan kembali untuk jualan kepada peminat bola sepak, kerana masih dalam perbincangan bersama pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

“Saya telah diberi taklimat berkenaan masalah yang kita hadapi Sabtu ini dan kita telah berbincang dengan perbadanan stadium.

“Kita masih dalam proses perbincangan. Itu sahaja yang saya boleh cakap ketika ini.

“Perbincangan mengenai pertembungan dua acara besar dalam masa satu minggu. Bukan saya tidak mahu cakap tapi kita sedang berusaha, jadi saya harap semua faham,” katanya selepas melakukan pawatan ke Institut Sukan Negara (ISN) bersama timbalannya Adam Adli Abd Halim.

Sebelum ini, ramai pihak terutamanya penyokong Harimau Malaya melahirkan kekecewaan dengan pengumuman hanya 59,000 tiket akan dijual bagi aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 antara skuad Harimau Malaya dengan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Sabtu ini.

Tindakan tersebut dilakukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas 11,000 tempat duduk terpaksa dikosongkan gara-gara terdapat halangan struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.

Sementara itu, tinjauan yang dibuat FLASH SUKAN dalam SNBJ, mendapati pemasangan pentas bagi konsert Jay Chou sedang giat dijalankan.

Agak mustahil untuk melihat 11,000 tempat duduk yang dikosongkan kembali dijual kepada peminat-peminat bola sepak tanah air dalam tempoh 48 jam menjelang sepak mula pada Sabtu.
Konsert terbabit dijangka berlangsung 15 Januari ini.