TEMPOH sembilan bulan mungkin bukan satu masa yang begitu panjang, namun cukup untuk memperlihatkan komitmen dan kesungguhan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di bawah kepimpinan Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli Abd Halim melakukan 22 perubahan bermula Disember 2022 hingga September 2023.
Langkah ke arah menguatkan industri sukan negara disusun dan diawalkan dengan memperkukuhkan ekososistem sukan menerusi menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Pembangunan Sukan (HLC), memudah cara penganjuran acara sukan, peningkatan dari 51 ke 103 jenis sukan, mengklasifikasikan sukan tempur sebagai aktiviti sukan di sekolah dan membantu Konservasi Harimau Malaya.
Selain itu, KBS melancarkan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan (NESDEG), memaparkan peruntukan yang diluluskan, membentuk Jawatankuasa Pertikaian Sukan, membentuk Jawatankuasa Road to Gold, mengadakan KBS Open Day, membangunkan Kod Sukan Selamat dan mewajibkan kehadiran Pegawai Pengiring bagi mengiringi atlet para negara.
“Pertama, merakyatkan sukan dengan mewujudkan Direktori Fasiliti Sukan, menjalankan Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) Renang, menyediakan Program Skrin Besar dan memperluaskan Jualan Sukan Rahmah.
“Kedua, memperkasakan belia iaitu memberi nafas Baharu Rakan Muda dan melancarkan Sekolah Rukun Negara.
“Ketiga, merakyatkan fasiliti KBS dengan membuka Fasiliti Perbadanan Stadium Malaysia, melancarkan Inisiatif 1 Sukan 1 Fasiliti, menyediakan penginapan Youth Capsule dan menawarkan Perkhemahan Keluarga,” kata kenyataan unit media KBS pada Sabtu.
Sepanjang September ini, KBS melancarkan Y-Capsule @IYCResidence pada harga RM10/hari. Program ini khas belia yang sedang menjalani latihan industri, sedang mencari pekerjaan atau mereka yang bekerja tetapi tidak mempunyai tempat tinggal.
Manakala bulan yang sama, KBS melalui agensinya iaitu Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) menawarkan tapak Kem Wawasan untuk menggalakkan Perkhemahan Keluarga.
Langkah ini bertujuan untuk menggalakkan keluarga meluangkan masa berkualiti bersama-sama sambil mempromosikan keseimbangan kehidupan bekerja.
Pastinya pembaharuan ini tidak terhenti begitu sahaja, sebaliknya akan terus dilaksanakan pada masa akan datang.
Hari ini @KBSMalaysia telah melancarkan Jualan Sukan Rahmah bersama pemain industri sukan bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai akses kepada peralatan sukan sempena Hari Sukan Negara. pic.twitter.com/HdSeLMABh4
— Hannah Yeoh (@hannahyeoh) September 14, 2023