TEMPOH 23 Minit tambahan masa dan kad merah menjadi warna-warni perlawanan pramusim merebut Piala Menteri Wilayah Persekutuan yang juga menjadi perlawanan kompetitif pertama menggunakan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR).
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu, Kuala Lumpur City FC muncul juara menewaskan Negeri Sembilan FC 2-1 dengan beberapa keputusan telah dirujuk kepada VAR.
Dua jaringan daripada Zhafri Yahya dan penalti oleh Paulo Josue cukup untuk memberikan kemenangan buat The City Boys dengan para penyokong disajikan penggunaan VAR buat julung kalinya yang turut menyaksikan Brendan Gan menjadi pemain pertama dilayangkan kad merah selepas semakan VAR.
Negeri Sembilan merapatkan kedudukan di minit-minit akhir babak pertama namun tidak mampu mencari gol penyamaan meskipun mempunyai beberapa peluang untuk berpuas hati menjadi naib juara.
Brendan Gan menjadi pemain pertama dilayangkan kad merah selepas pengadil perlawanan mendapati dia melakukan terjahan keras keatas pemain lawan menerusi bantuan teknologi VAR pada minit ke-78.
Malaysian Football League (MFL) menggunakan perlawanan pramusim ini sebagai medan untuk menguji keberkesanan sistem VAR dan dalam aksi sengit ini, teknologi itu berjaya mengesan sepakan penalti dan kad merah sekali gus dilihat berjaya dari segi penggunaannya.
Pengendali Negeri Sembilan FC, Azzmi Aziz nyata berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan para pemainnya namun masih ada ruang yang perlu diperbaiki menjelang aksi pembukaan Liga Super pada 18 Mei 2024.
Sementara itu, ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC, Miroslav Kuljanac gembira kerana para pemain berjaya mengikuti taktikal yang diberikan namun dia enggan mengulas tentang kad merah yang diterima pemainnya.