SEJARAH kembali tercipta di Euro 2024. Pemain Albania, Nedim Bajrami melakar sensasi dengan menjaringkan gol terpantas dalam sejarah Piala Eropah ketika menggegar gawang Itali aksi awal pagi Ahad.

Albania menentang Itali dalam perlawanan pertama Kumpulan B di Signal Iduna Park, Dortmund.

Albania nyaris mengejutkan juara bertahan menerusi gol kilat yang dijaringkan oleh Bajrami.

Bagaimanapun, Itali mampu bangkit dengan menterbalikkan kedudukan hasil jaringan Alessandro Bastoni dan Nicolo Barella.

Itali kini berada di tangga kedua Kumpulan B dengan tiga mata, di belakang Sepanyol, yang menewaskan Croatia 3-0.

Perlawanan baru berjalan selama 23 saat, Itali dikejutkan dengan jaringan Bajrami. Bermula dari kesilapan lontaran Federico Dimarco, Bajrami yang berdiri di dalam kotak penalti, lawan bijak mencuri bola.

Pemain tengah dari kelab Serie A, Sassuolo, kemudian melepaskan rembatan deras yang tidak dapat dihalang oleh Gianluigi Donnarumma.

Gol terpantas ini menjadikan Bajrami memecahkan rekod gol terpantas dalam sejarah Euro 2024 yang sebelum ini disandang Dmitri Kirichenko apabila menjaringkan gol untuk Rusia pada saat ke-67 di Euro 2004.

Sebelum ini, rekod turut tercipta apabila pemain sayap Sepanyol, Lamine Yamal secara rasmi menjadi pemain termuda pernah beraksi dalam perlawanan Euro.

Yamal diturunkan sebagai penyerang ketika Sepanyol berdepan Croatia, juga dalam perlawanan Kumpulan B. Yamal bermain pada usia 16 tahun, 11 bulan dan dua hari.

Bukan itu sahaja, Yamal kemudiannya turut mencipta sejarah apabila menjadi pemain termuda yang memberikan bantuan dalam sejarah Euro ketika menjadi arkitek gol ketiga Sepanyol yang dijaringkan oleh Dani Carvajal.

Jangan ketinggalan detik-detik menarik Euro 2024. Catatkan jadual lengkap Euro 2024 dengan segera dan pastikan anda melawat Flash Sukan sekarang untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai Euro 2024.