PRESIDEN Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berharap tiga mata dapat diraih skuad bawah (B-23) negara menjelang aksi kedua Kumpulan B Sukan SEA Vietnam di Stadium Thien Truong, Nam Dinh pada Rabu.

Sambil menyifatkan perjalanan pasukan bola sepak Malaysia masih jauh, Hamidin percaya pemain negara cukup bersedia menentang Laos yang sebelum itu tewas 1-4 kepada Kemboja dalam perlawanan kedua.

“Saya selalu ingatkan kepada pemain serta pasukan kerana kejohanan karnival yang agak panjang dalam masa dua minggu ini dan kita perlu ambil dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Saya ada keyakinan tinggi pasukan ini akan menang esok (malam ini),” katanya selepas majlis makan malam bersama media Malaysia yang membuat liputan Sukan SEA Vietnam di Hanoi Club.

Sementara itu, Hamidin yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) melihat Sukan SEA 2021 adalah medan mustahak bagi pemain Brad Maloney membuktikan sesuatu sebelum terbang ke Uzbekistan.

“Pasukan ini diketuai Brad Maloney yang beraksi tanpa pemain lebih umur dan dia berikan sebab dan fakta penting bermain di Sukan SEA (tidak menyenaraikan pemain lebih 23 tahun).

“Saya kira persembahan pasukan di Mongolia hinggalah ke hari ini ada ciri-ciri buat pemain membuat kejutan tetapi dalam bola sepak kita berusaha dan harap pasukan ini akan berjaya,” ujarnya lagi.

Skuad B-23 berjaya menempatkan diri dalam kelompok pasukan 16 terbaik Piala AFC di Uzbekistan bermula Jun depan dan diletakkan bersama juara edisi 2020, Korea Selatan selain dua seteru Asia Tenggara iaitu Vietnam dan juga Thailand.