KEMPEN Piala FA 2024 akan membuka tirainya tidak lama lagi, dan terdapat penambahan tiga pasukan yang akan turut sama memberi cabaran dalam saingan Piala FA musim ini.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menerusi satu hantaran yang dimuat naik ke laman media sosialnya telah menyaksikan sejumlah 16 pasukan yang akan berentap dan merebut gelaran juara musim 2024/2025 ini.

Lebih menarik lagi, apabila tiga penyertaan baharu daripada pasukan Liga A1 Semi Pro iaitu KL Rovers FC, Bukit Tambun FC dan Malaysian University FT membuktikan bahawa mereka telah bersiap sedia untuk bertarung dengan 13 pasukan gergasi Liga Super lain.

Senarai penuh pasukan yang akan bertanding dalam kempen Piala FA 2024-2025.

Walau bagaimanapun, KL Rovers adalah salah satu pasukan yang perlu diawasi kerana mungkin dapat memberi ancaman kepada pasukan lain, setelah mereka meraih gelaran naib juara dalam saingan MBSB Championship musim lalu.

Sementara itu, 13 pasukan Liga Super yang bakal berentap sama adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Kedah Darul Aman, Sabah FC, Terengganu FC, KL City FC, Sri Pahang FC, Negeri Sembilan FC, Perak FC, Kelantan Darul Naim FC, Kuching City FC, Penang FC dan PDRM FC.

Majlis undian Piala FA musim 2024/2025 dijadualkan berlangsung hari ini, jam 7 malam dengan siaran langsung dibawa khas oleh penyiar rasmi Liga Malaysia iaitu Astro Arena.