WALAUPUN prestasi skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam saingan Liga Malaysia musim ini tidak memberangsangkan namun penyenaraian kembali Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman bersama pasukan Harimau Malaya disambut baik penyokong kelab itu.

Umum mengetahui, NSFC yang di bawah regim K Devan sekadar berada di kedudukan ke-10 Liga Super dan terkandas di peringkat suku akhir Piala FA serta Piala Malaysia, tetapi posisi penjaga gawang berjaya menarik minat Kim Pan-gon.

Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengeluarkan senarai 25 pemain bagi menghadapi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pertengahan November ini dan Sikh Izhan antara nama yang ‘lekat’.

Pemain pinjaman dari Selangor itu menjadi bualan hangat bukan sahaja di kalangan penyokong pasukan Rusa namun meniti dibibir setiap peminat bola sepak di Malaysia.

Kontrak pinjaman Sikh Izhan bersama NSFC berakhir pada 30 November ini.

Walaupun tidak berjaya membawa pulang sebarang piala ke bumi adat perpatih, namun semangat yang ditunjukkan oleh pemain ini layak diberikan pujian.

Reaksi penyokong NSFC juga berbeza-beza namun secara keseluruhan percaya bekas pemain yang memulakan karier bersama Bintang Biru Academy dan berketinggian 1.83 meter mampu melonjak namanya jika terus diberi ruang mengemudi gawang skuad kebangsaan.

Berdasarkan kemaskini nilai pasaran yang dibuat laman antarabangsa juga, transfermarkt.com pada 25 Mei lalu, ‘tanda harga’ Sikh Izhan kini adalah €100,000 (RM498,0000).

Malah, kenyataan rasmi kelab berkenaan turut tidak ketinggalan mengucapkan selamat maju jaya buat Sikh Izhan yang telah mencapai 19 penampilan dalam Liga Super musim ini.

“Penjaga Gol NSFC, Sikh Izhan telah disenaraikan dalam 25 pemain yang akan menjalani latihan pusat Harimau Malaya bermula dari 10 November ini.

“Tahniah Sikh dan semoga berjaya,” kata kenyataan itu.

 

ARTIKEL BERKAITAN : Kelayakan Piala Dunia 2026 : Pan-gon panggil kembali lima pemain, Syamer dan Azam Azih tersisih

Bersama sesi latihan skuad kebangsaan, Sikh Izhan akan mencabar posisi penjaga gawang kental Johor Darul Ta’zim, Syihan Hazmi serta Azri Ghani (Kuala Lumpur City).

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan pertama Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz pada 16 November 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum terbang ke Taipei City bagi perlawanan kedua bertemu Chinese Taipei di tempat lawan pada 21 November 2023.