BERITA buruk hadir dari kem Real Madrid. Empat pemain muda mereka ditahan polis Sepanyol selepas didakwa mengedarkan video seks gadis bawah umur.
BBC melaporkan bahawa penahanan itu dilakukan di pangkalan latihan Madrid di Valdebebas. Keempat-empat mereka dibebaskan semula selepas disoal siasat dan data pada telefon bimbit mereka dirampas.
Polis bertindak selepas ibu kepada remaja perempuan berusia 16 tahun yang muncul dalam video terbabit melaporkan kejadian yang berlaku di Kepulauan Canary tidak lama dahulu.
Madrid, dalam kenyataan rasmi mereka, berkata mereka menyedari penahanan itu dan akan “mengambil langkah sewajarnya” selepas “serangkaian fakta sedia ada menjadi jelas”.
Nama empat pemain itu tidak dibocorkan kepada umum, tetapi terdiri daripada tiga pemain Real Madrid C dan seorang lagi dari Real Madrid Castilla, dua peringkat berbeza dalam akademi kelab itu. Tiada pemain senior yang terlibat dalam kes ini.
Gadis itu mengakui bahawa perbuatan seksual dalam video itu berlaku di luar kehendaknya, tetapi dia tidak pernah membenarkannya dirakam oleh salah seorang pemain muda Madrid.
Video itu kemudiannya dikongsi melalui Whatsapp.