BERBAKI empat hari lagi sebelum sepak mula antara Malaysia dan Republik Kyrgyztan berlangsung bagi pusingan kedua Aksi Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 yang diadakan pada 16 November 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Pertembungan yang dijangkakan sengit ini bakal dihangatkan lagi dengan penyokong-penyokong skuad Harimau Malaya yang menetap di kawasan sekitar Lembah Klang mahupun di luar.

Perkara ini dapat dikaitkan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengeluarkan kenyataan rasmi di laman sosial rasminya bahawa sebanyak 4,297 keping tiket telah pun terjual setakat hari ini (Ahad).

Dalam masa yang sama, pemain sensasi skuad kebangsaan iaitu Muhammad Akhyar Rashid, Ahmad Syihan Hazmi dan Paulo Josue telah pun menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk hadir turun ke stadium keramat itu pada Khamis depan.

Jelas bahawa pemain-pemain ini menagih sokongan daripada penyokong-penyokong bola sepak tanah air sejurus ingin mendengar sorakan yang bergema di SNBJ sebagai satu suntikan semangat buat wira-wira negara yang akan beraksi.

Masih belum terlambat buat rakyat Malaysia yang tinggal di setiap pelusuk negeri untuk turun membanjiri stadium dan menyaksikan sendiri aksi pertarungan antara Harimau Malaya dan Republik Kyrgyz sekali gus menjadi saksi kemenangan yang mungkin berpihak kepada Malaysia itu nanti.