SERAMAI 48 pemain dan 12 pegawai Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) berlepas ke Amsterdam, Belanda bagi menjalani latihan dan beberapa siri perlawanan persahabatan bersama pasukan yang beraksi dalam liga 1 Eredivisie, Belanda lebih kurang tiga minggu.

Latihan dan perlawanan persahabatan di luar negara antara salah satu perancangan tetap yang ada dalam kalendar Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), namun terpaksa ditangguhkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini berikutan penularan Covid-19.

Namun tahun ini pasukan NFDP kembali aktif mengadakan beberapa jelajah ke luar negara sama ada di Eropah, Asia mahu pun Asean.

Menurut Pengurus Besar NFDP Muhamad Yusuf Ibrahim, ini adalah untuk memberikan pendedahan suasana yang berbeza kepada pelatih-pelatih di akademi.

“Program latihan dan Siri Perlawanan Persahabatan Antarabangsa ini merupakan antara program yang telah dirancang oleh Sekretariat NFDP sejak tahun 2020 tetapi terpaksa di tunda kerana pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

 

“Perancangan bagi kategori umur yang lain berkemungkinan akan ke Vietnam, Thailand dan beberapa Negara lain lagi bergantung kepada persetujuan dengan kelab-kelab di Negara-negara yang berkenaan selepas kebenaran untuk keluar negara telah dibenarkan.

“Sebagai tambahan, NFDP juga merancang akan menganjurkan semula SuperMokh Cup pada tahun ini yang dijangkakan pada bulan Oktober ini bergantung kepada kelulusan,” kongsinya kepada FLASH SUKAN.

Jelajah kali ini menyaksikan seramai 48 pemain diterbangkan ke Belanda (24 orang pemain Bawah 13, 24 pemain B-16) bagi menjalani latihan dan perlawanan persahabatan yang dijadualkan bertemu Prestige Football Academy Holland (B14 & B17), FC Utrecht (B13 & B16(, SC Heerenveen B13 & B16), FC Twente (B13 & B16), NEC Nijmegen (B13 & B16), 1 Mini Tournament, Training & Coaching Attachment bersama FC Twente.

Turut bersama dalam jelajah bermula 9 Mei hingga 30 Mei ini termasuk ketua jurulatih, pembantu jurulatih, fisioterapi, video analisis dan koordinator pasukan.