EDISI sulung Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 dibuka dengan penuh berprestij pada majlis perasmian pembukaan yang gilang gemilang di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching, pada Isnin.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, kejohanan berkelas antarabangsa ini dapat dijayakan sekali gus berjaya menyahut cabaran beliau untuk mengangkat martabat silat di Sarawak.
“Tahniah kepada Persatuan Rumpun Silat Sarawak (RSS) mempersiapkan perancangan bagi memastikan ia berlangsung.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Presiden Rumpun Silat Sarawak, Haji Muhammad Haneef Ali, atas dedikasi dan kecekalan dalam memelihara warisan, seni dan budaya silat di Sarawak.
“Tumpuan utama bukan sahaja memastikan warisan, seni dan budaya silat di Sarawak semakin kuat malah saya percaya di bawah pimpinan beliau, RSS akan melahirkan lebih ramai lagi pesilat yang akan mengharumkan nama Sarawak di pentas dunia,” katanya dalam ucapan perasmian.
Beliau juga turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin kerana telah memberikan sokongan kepada Sarawak untuk menganjurkan kejuaraan silat berkelas dunia.
Premier Sarawak juga menegaskan Sarawak akan kembali menjadi kuasa besar dalam menjulang warisan, seni dan budaya silat lebih-lebih lagi Sarawak berada dalam kedudukan strategik dalam kalangan negara rantau Asia Tenggara seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.
“Kita sangat berbangga untuk menerima kunjungan serta cabaran hampir 21 kontinjen dalam dan luar negara dengan anggaran hampir 500 pesilat bersedia untuk berkampung di Kuching.
“Sambutan yang amat baik terutamanya daripada negara luar seperti Amerika Syarikat, Belanda, Filipina dan Kyrgyzstan akan menaikkan mutu sukan silat di Sarawak buat julung kalinya. Kita berharap untuk menjadikan Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak ini diadakan dua tahun sekali seiring dengan Kejohanan SUKMA dan Sukan SEA,” jelas beliau.
500 pesilat yang terdiri daripada 21 kontinjen dalam dan luar negara seperti Amerika Syarikat, Belanda, Filipina, Indonesia dan Kyrgystan akan berkampung bagi berentap merebut ganjaran lumayan sebanyak USD20,000 serta tali pinggang kejuaraan yang pertama kali diperkenalkan bermula semalam sehingga 5 Mac.