ACARA larian dan kayuhan di negara ini terus menjadi kegilaan.
Terkini, kira-kira 6,500 peserta dari tempatan dan dari luar negara bakal menyertai perlumbaan edisi kesembilan RHB LEKAS Highway Ride yang akan berlangsung 12 Oktober depan.
Bilangan penyertaan itu adalah paling ramai diterima dalam sejarah penganjuran acara itu.
Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Mohd Rashid Mohamad berkata, pihaknya amat gembira dengan sambutan yang sangat menggalakkan dari peserta dalam dan luar negara.
“RHB LEKAS Highway Ride merupakan acara flagship RHB Rides kami, mempromosikan senaman berimpak rendah untuk kesejahteraan seimbang serta menekankan komitmen kami terhadap gaya hidup sihat, inklusiviti, dan penglibatan komuniti.
“Tahun ini, kami teruja untuk memperkenalkan elemen baharu yang memperkayakan pengalaman, memupuk semangat komuniti, mempromosikan gaya hidup aktif, dan meningkatkan ekosistem kayuhan basikal,” kata Mohd Rashid.
RHB LEKAS Highway Ride 2024, akan bermula di Plaza Tol Kajang Selatan, menawarkan pelbagai kategori untuk memenuhi keperluan pengayuh basikal dari semua tahap dan usia.
Jarak laluan sejauh 120km telah dipendekkan kepada 105km Ride Kompetitif, dengan laluan bercerun curam 250 meter pada petanda 23km, membolehkan pengayuh basikal elit menyempurnakan cabaran dan menikmati aktiviti petang di tapak acara.
Jarak laluan popular, 78km, akan mencabar peserta untuk meningkatkan masa kompetitif terbaik mereka. Penyertaan dalam acara ini bukan sahaja memberikan pengalaman berbasikal yang mencabar tetapi juga peluang untuk memenangi hadiah menarik dan menikmati masa bersama yang menyeronokkan.
Kategori baharu tahun ini, 17km Open Ride, bertujuan memberikan pengalaman istimewa kepada pengayuh basikal berusia 17 tahun ke atas.
Sementara bagi pengayuh basikal pra-remaja dan remaja berusia antara 10 hingga 16 tahun yang berminat untuk menjadi juara roda boleh memilih jarak laluan 17km atau 12km.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan & Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Lee Chun Fai, berkata, penganjuran RHB LEKAS Highway Ride merangkumi usaha mereka untuk memupuk gaya hidup sihat dan membina komuniti yang cergas.
“Acara ini bukan hanya untuk berbasikal, tetapi juga untuk membawa pelbagai lapisan masyarakat bersama dalam berkongsi pengalaman yang unik dan istimewa,” katanya.
Malah, syarikat korporat itu menyumbang RM50,000 kepada Majlis Paralimpik Malaysia untuk menyokong Paralimpik Paris 2024, yang akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September 2024.