PERSATUAN Badan Berkanun Malaysia (PBBM) dengan kerjasama, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) akan menganjurkan Karnival sukan pantai Badan Berkanun Malaysia (SUPANUN) edisi ke-4 bermula pada 13 hingga 16 Oktober 2022 bertempat di Pantai Batu 5, Port Dickson, Negeri Sembilan.
SUPANUN merupakan acara sukan dwi-tahunan PBBM, edisi pertama SUPANUN ini mula diperkenalkan pada tahun 2014 di Pantai Port Dickson, 2016 di Pantai Klebang, Melaka.
Kali terakhir diadakan pada tahun 2018 di Pantai Cenang, Langkawi. Tahun 2020 SUPANUN ditangguhkan akibat wabak Covid-19 melanda negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mustaza Mohamad berkata, sebanyak tujuh acara sukan di pertandingkan iaitu bola sepak pantai, bola jaring, tarik tali, sepak takraw, bola tampar dan petanque.
“Objektif penganjuran adalah bagi mengeratkan silaturrahim di antara agensi-agensi yang berdaftar di bawah PBBM dan menggalakan budaya bersukan di kalangan staf agensi badan berkanun serta mempertingkat kecemerlangan individu dalam sukan di kalangan staf,” katanya.
Seramai lebih 700 atlet dan pegawai serta sukarelawan akan berkampung di Port Dickson Negeri Sembilan.
Sebanyak 31 agensi yang terlibat dalam kejohanan tersebut. Antara agensi yang mengambil bahagian ialah MBSA, UiTM, LHDN, MPOB, MPK, PERKESO, SSM, MADA, DBKL, ISN, UM, USIM, KWSP, UiAM, UPM dan lain-lain agensi.