KEHANGATAN musim baharu Liga Super Malaysia ternyata diterjemahkan menerusi kehadiran penyokong ke stadium dan ini terbukti apabila seramai 79,066 orang penyokong berbayar telah dicatatkan untuk minggu perlawanan pertama musim ini.
Tujuh venue melibatkan 14 pasukan ternyata berjaya menarik minat penyokong bola sepak tempatan yang membanjiri stadium bagi memberi sokongan kepada pasukan pilihan masing-masing.
Seperti biasa Stadium Sultan Ibrahim mencatatkan angka kehadiran penyokong tertinggi dengan 31,889 penyokong hadir menyaksikan Johor Darul Ta’zim menewaskan Terengganu FC untuk tiga mata pertama dan menjulang Piala Sumbangsih.
Perlawanan antara Kuala Lumpur City FC dan Penang FC pula mencatatkan angka kehadiran terendah dengan 1,291 penyokong tetapi sebenarnya angka ini cukup baik untuk pasukan KL City yang sebelum ini bergelut untuk memenuhkan stadium.
Aksi ‘Northern Derby’ antara Perak FC dan Kedah Darul Aman FC menyaksikan 15,106 penyokong kembali menggamatkan Stadium Perak yang sudah lama tidak menerima kehadiran penyokong yang ramai.
Sikap penyokong Sabah yang fanatik tidak perlu dipertikaikan apabila lebih 12,000 penyokong membanjiri Stadium Likas yang menyaksikan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee menang bergaya 4-0 keatas PDRM FC.
Wajah baharu Selangor FC juga menarik hampir 7,000 penyokong ke Stadium MBPJ Kelana Jaya manakala aksi skuad Jang dan Tok Gajah di Paroi disaksikan lebih 6,300 penyokong sekalian yang setia.
Kembalinya Kelantan ke Liga Super juga berjaya menarik lebih 5,000 penyokong ke Stadium Sultan Mohammed ke-4 di mana perlawanan waktu petang pertama musim ini berlangsung yang menyaksikan Kuching City meraih kemampuan 2-1.
Dengan purata 11,295 penyokong, angka ini boleh dikatakan sangat baik dan menunjukkan Liga Super memang mempunyai peminat tersendiri dan diharap angka ini dapat diatasi atau dikekalkan sehingga hujung musim nanti.
Kehadiran penonton yang ramai ini adalah antara sebab mengapa pihak pengelola liga semakin mendapat perhatian tajaan daripada sektor korporat kerana nilai komersil yang semakin meningkat.