LAPAN pasukan akan melakar sejarah menjadi kumpulan pertama merebut kejuaraan Liga A3 Community pertama di Melaka pada 2024 yang akan bermula pada 4 Mei 2024.

Liga A3 adalah liga amatur komuniti yang diwujudkan Amateur Football League (AFL) untuk memberikan peluang buat pasukan-pasukan komuniti amatur untuk bertanding dalam pertandingan berformat liga sepenuh musim.

Lapan pasukan tersebut – Dynamo FC, SBC FC, Serkam United FC, Melaka Cops FC, UTeM United FC, Sg.Putat FC, Danke FC dan Scofa FC akan bersaing merebut kejuaraan serta slot ke saingan Liga A2 Amateur 2025-26.

Datuk Ridhwan Mohd Ali bersama wakil lapan pasukan yang bertanding

Majlis undian dan taklimat telah berlangsung pada Rabu di Hotel MITC Melaka dengan kesemua pasukan dilihat telah bersedia dan bersemangat untuk mengharungi liga komuniti ini.

Turut hadir dalam majlis undian itu adalah Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Melaka Baru, Sani Kalam, Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Melayu Melaka Baru, Sahdan Shaherom, Ketua Pegawai Eksekutif Super Football League dan Muhd Razali Omar Othman, Pengerusi Super Football League.

Kejohanan ini akan berlangsung secara liga dengan empat teratas akan ke mara peringkat separuh akhir sebelum bersaing pada final yang menjanjikan slot kenaikan ke Liga A2 Amateur musim hadapan.

Sekitar majlis undian Liga A3 Community Super Series Melaka

Jumlah keseluruhan hadiah kemenangan ditetapkan sebanyak RM8,500 beserta piala pusingan baucar jersi zerofour dengan perlawanan pertama akan berlangsung pada Sabtu 4 Mei 2024 antara Scofa FC menentang Danke FC bertempat di Stadium UTeM, Melaka.

Liga ini dijangka akan mendapat sambutan daripada komuniti yang kini boleh berbangga mempunyai pasukan sendiri yang mewakili kawasan masing-masing selain menjadi medan mengasah bakat-bakat baharu yang berkebolehan dalam sukan bola sepak.