BELUM pun berakhir perlawanan akhir Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2023, lapan pasukan sudah mengetahui lawan masing-masing untuk cabaran Malaysia Futsal Cup 2023 yang bakal membuka tirai pada pertengahan Ogos ini.

Lapan pasukan yang layak adalah Johor Darul Ta’zim, Pahang Rangers, Selangor MAC, Selangor TOT United, Terengganu, Shah Alam City, Kuala Lumpur City dan Pulau Pinang.

Menerusi majlis undian yang dijalankan di Wisma FAM pada Selasa, empat perlawanan telah ditentukan dan kemungkinan ulangan final MPFL bakal berulang apabila Pahang Rangers dan JDT mungkin boleh bertemu sekali lagi.

Suku Akhir pertama menyaksikan Pahang Rangers akan bertemu Selangor TOT United manakala suku akhir kedua pula bakal menemukan Terengganu dan Pulau Pinang dengan pemenang kedua-dua suku akhir ini akan bertemu di separuh akhir.

Sementara itu suku akhir ketiga akan menjadi gelanggang buat Shah Alam City dan Selangor MAC dan suku akhir keempat pula menemukan Kuala Lumpur City dan Johor Darul Ta’zim.

Peringkat suku akhir dan separuh akhir bakal diadakan secara timbal balik manakala perlawanan akhir akan berlangsung secara satu perlawanan sahaja bagi membawa pulang trofi dan gelaran juara Malaysia Futsal Cup 2023.

Pengendali Selangor TOT United, Patt Sriwijit

Pengendali Selangor TOT United, Patt Sriwijit mahu menggunakan saingan ini sebagai medan kebangkitan selepas tersingkir di peringkat separuh akhir MPFL kepada pendatang baharu, JDT.

“Kami akan kembali dengan lebih kuat. Sekarang kami mahu berehat sebentar dan akan kembali berlatih bersungguh-sungguh serta akan memberikan aksi terbaik dalam perlawanan,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Sebagai rekod, Selangor MAC adalah juara bertahan Malaysia Futsal Cup dan adakah tahun ini akan ada juara baharu, menarik untuk disaksikan oleh semua peminat sukan futsal tanah air.