SEBANYAK 89 pasukan bola sepak remaja elit dari seluruh Malaysia akan berkumpul di Lembah Klang hujung minggu ini untuk Perlawanan Akhir Kebangsaan Liga Suparimau.

Terbuka kepada juara divisyen Liga Suparimau di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Pahang, Pulau Pinang, Kedah dan Sabah, kejohanan ini bertujuan menobatkan juara Liga Suparimau kebangsaan bagi kategori Bawah 12 (B-12), B-14 dan B-16.

Perlawanan Akhir Kebangsaan akan disertai dengan Pesta Bola Sepak Akar Umbi Liga Suparimau membabitkan kejohanan persahabatan terbuka kepada peserta B-6, B-8, B-10, B-12 dan B-14 daripada pertandingan Liga Suparimau pada 2022.

Perlawanan Akhir Kebangsaan dan Pesta Bola Sepak Akar Umbi menandakan berakhirnya tahun pertama Liga Suparimau yang dipersembahkan oleh Boost Juice. Anjuran bersama FA Malaysia dan Maxim Events, pertandingan itu menawarkan pertandingan bola sepak akar umbi sepanjang tahun untuk pasukan dalam kumpulan umur dari B-6 hingga B-17 perempuan di 12 daerah.

Kejohanan Akhir Kebangsaan hujung minggu ini akan berlangsung di tujuh venue di Lembah Klang pada Sabtu melibatkan perlawanan peringkat kumpulan sehinggalah ke separuh akhir.

Mereka yang berjaya mengharunginya akan bertanding di peringkat akhir di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada petang Ahad untuk berpeluang dinobatkan sebagai Juara Kebangsaan Liga Suparimau 2022 peringkat umur.