KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) semalam telah mengumumkan senarai empat negara yang menghantar permohonan rasmi untuk membida hak sebagai tuan rumah Piala Asia 2023.

Bagaimanapun, dalam satu portal berita dari Korea Selatan iaitu Joong Ang Daily, mereka menyifatkan Indonesia tidak layak menjadi tuan rumah Piala Asia 2023 kerana perlu memberi tumpuan kepada penganjuran Piala Dunia B-20 2023.

“Indonesia pernah jadi tuan rumah Sukan Asia Jakarta-Palembang pada tahun 2018 dan juga memiliki infrastruktur sukan yang baik.

“Tetapi mereka akan menjadi tuan rumah Piala Dunia B-20 2023 bermula 20 Mei hingga 11 Jun tahun depan, dan bakal menghadapi masalah seperti Australia (tuan rumah Piala Dunia Wanita 2023),” jelas kenyataan Joong Ang Daily.

Bidaan menganjurkan Piala Asia 2023 telah dibuka kepada semua anggota persatuan sejak 31 Mei lalu bagi menggantikan tempat China yang menarik diri susulan peningkatan kes COVID-19.

Empat Anggota Persatuan (MA) yang telah mengesahkan permohonan tersebut ialah Federasi Bola Sepak Australia (FFA), Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) dan Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA).

Bagaimanapun, peluang Indonesia dan Australia dilihat agak tipis kerana perlu bersaing dengan negara yang lebih baik dari fasiliti dan infrastrukturnya seperti Qatar dan Korea Selatan.