DERBI Lembah Klang sentiasa menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan sejak dahulu lagi. Pertembungan dua pasukan jiran ini seringkali memberikan permainan bola sepak yang cukup menarik.
Malam ini, Stadium MBPJ, Kelana Jaya sekali lagi akan menjadi saksi pertemuan Derbi Lembah Klang ketiga musim ini apabila Selangor FC melayan kunjungan Kuala Lumpur City FC untuk aksi Liga Super.
Kedua-dua pasukan berada dalam prestasi yang terumbang ambing dengan keputusan yang tidak menentu dalam saingan liga tetapi Selangor FC mempunyai motivasi yang lebih tinggi selepas berjaya membenam The City Boys 1-0 pada aksi Piala FA sebelum ini.
Selain itu kemenangan 2-0 keatas Penang FC pada hujung minggu lalu juga berjaya memberikan lonjakan kepada The Red Giants yang kini menghidu tempat keempat liga sekiranya dapat memenangi perlawanan malam ini.
Kuala Lumpur City pula diikat PJ City di laman sendiri tanpa enam tonggak utama yang dilanda kecederaan dan pastinya mahu menjadikan pertemuan dengan pasukan jiran ini sebagai ‘turning point’ kepada musim mereka.
Penyerang import Selangor FC, Caion sudah pasti mahu menamatkan kemarau tiga perlawanan tanpa jaringan dan kembali mengejar sasaran sebagai penjaring terbanyak liga.
Jordan Mintah pula pastinya mahu membuktikan kemampuan kepada majikan baharunya dengan membuka akaun jaringan dan ianya akan lebih manis jika dapat dilakukan pada derbi Lembah Klang.
Para penyokong kedua-dua pasukan juga sudah tentu akan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi bagi memastikan pasukan mereka layak bergelar Raja Lembah Klang.
Jangkaan Kesebelasan Utama:
Selangor FC
Sam Somerville, Quentin Cheng, Yazan Al-Arab, Sharul Nazeem, Alex Agyarkwa, Mukhairi Ajmal, Brendan Gan, Baha Abdelrahman, Aliff Haiqal, Ahmad Zikri, Herlison Caion
Kuala Lumpur City FC
Kevin Mendoza, Giancarlo Gallifuco, Declan Lambert, Irfan Zakaria, Nik Shahrul Azim, Zhafri Yahya, Hadin Azman, Fakhrul Aiman, Arif Shaqirin, Romel Morales, Jordan Mintah