PRESIDEN Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Omardin, Malaysia meletakkan tujuh pingat emas sebagai sasaran pada Kejohanan Silat Dunia yang bakal membuka tirainya pada 26 hingga 31 Julai ini dii Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka.

“Saya hanya mensasarkan tujuh tetapi kalau dapat lebih bonuslah. Secara praktikalnya tujuh pingat emas. Saya fikir ia adalah masa yang tepat, harus berani, tidak mahu lagi jadi seperti dahulu ketika di Hanoi,” jelasnya kepada media selepas penyerahan Jalur Gemilang kepada pesilat-pesilat negara, Selasa.

Sementara itu, beliau turut mengulas penggunaan VAR (video bantuan pengadil) merupakan elemen terbaik bagi mengurangkan ralat yang berlaku disebabkan pengadil juga adalah manusia biasa.

Ia juga susulan beberapa isu kontroversi yang dicetuskan dalam temasya sukan besar sebelum ini terutama Sukan SEA 2021 Hanoi yang kebanyakan keputusan disifatkan berat sebelah dan memihak kepada tuan rumah, Vietnam.

“Saya fikir ia adalah masanya sukan silat mesti berani, tidak mahu lagi jadi seperti dulu. Di Hanoi, ada satu dua keputusan kontroversi.

“Keseluruhannya, bila ada menggunakan sistem VAR ini, ia mengurangi keraguan keputusan juri. Tapi di Malaysia sebagai pengerusi, saya akan pastikan ia tak berlaku.

“Untuk itu kita pergi lebih jauh. Kita kena mengurangkan keputusan kontroversi sebegini. Saya berbangga sukan tempur antara yang terawal dalam dunia yang menggunakan sistem VAR ini adalah silat.

“Keputusan VAR ini kita paparkan kepada seluruh penonton yang hadir untuk tengok sama-sama. Saya berjanji kita akan mengurangkan seminima mungkin supaya isu kontroversi tidak berlaku,” mengulas isu berhubung penggunaan VAR.

Beliau turut menegaskan kejohanan kali ini sangat bermakna baginya kerana usaha kerasnya bersama Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam sewaktu mereka menyaksikan Sukan SEA di Jakarta dan Filipina untuk menyaksikan sukan silat dipandang di mata dunia akhirnya menjadi kenyataan.

Saingan dijangka hadir menerusi negara Vietnam, Indonesia dan Singapura. Manakala negara Asia Tengah juga tidak boleh dipandang mudah seperti Kyrgyzstan, Uzbekistan, Kazakhstan dan Tajikistan kerana kita belum mengetahui senjata rahsia yang bakal dipamerkan dalam kejohanan tersebut.