JURULATIH Selangor FC, Michael Feichtenbeiner mengakui kad merah yang dilayangkan pengadil kepada pemain pertahanan, Ahmad Zikri Khalili jelas menjadi titik perubahan kepada prestasi anak buahnya yang terpaksa akur menghadiahkan satu gol kepada KL City FC.

“Sudah tentu. Jika anda lihat bermain dengan sepuluh orang, jadual yang padat selepas bertemu Penang FC, jadi ia meletakkan kami bermain secara bertahan.

“Ini adalah sebahagian dari taktikal, setelah perlawanan lepas, saya rasa Hyuri berada dalam keadaan segar. Saya mahu menggunakan pemain-pemain ini dalam ketiga-tiga perlawanan minggu ini,” jelasnya kepada media selepas perlawanan.

Sementara itu, jurulatih KL City FC Bojan Hodak memberitahu mereka sepatutnya menang pada aksi malam ini namun harus menerima hakikat nasib tidak menyebelahi pasukannya meskipun beraksi dengan baik.

 

Bojan Hodak

“Kadangkala kita bernasib baik, kadangkala tidak. Kita mempunyai peluang terbaik, saya tidak tahu bagaimana kita tidak skor. Mereka berjaya keluarkan bola. Apa saya boleh katakan, ia bukan hari kita, kita gagal menyempurnakan penalti, kita gagal menjaringkan lebih gol.

“Secara jujur, saya rasa kita patut menang malam ini. Ia bukan mudah kerana kita bermain di laman Selangor FC. Kita bermain dengan lebih baik tapi kita tahu Selangor FC satu pasukan yang kuat,” jelasnya.

Ketiadaan Paulo Josue ekoran kecederaan dilihat merencatkan arkitek tengah bagi membuat hantaran berbahaya ke kubu lawan manakala Jordan Mintah yang tidak dapat diturunkan ekoran masalah kesihatan turut dirasai kerana dia merupakan seorang pemain yang memiliki karakter dan sangat berbahaya dalam serangan.

Secara keseluruhan, Hodak berpuas hati dengan persembahan anak buahnya serta menyifatkan separuh masa kedua jelas menjadi milik The City Boys dengan mendominasi keseluruhan perlawanan mengatasi Gergasi Merah.