PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan beberapa perancangan buat skuad kebangsaan dari skuad junior hingga senior untuk baki tahun ini dan juga tahun 2023.

Perkara ini diumumkan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusuf Mahadi pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Kali Ke-5 Bagi Penggal 2021-2025 di Wisma FAM, Khamis.

Skuad Bawah 16 Tahun (B-16) akan menghadapi dua kejohanan utama dengan Kejohanan AFF B-16 Tahun di Jogjakarta bermula 31 Julai hingga 12 Ogos dengan FAM berharap skuad kendalian Osmera Omaro dapat mengulangi pencapaian skuad B-19 Tahun dengan muncul juara.

 

Selepas itu, mereka akan kembali semula dalam kem latihan bermula 1-8 September sebagai persediaan menghadapi Kelayakan Piala Asia AFC B17 di Jakarta pada 1-9 Oktober 2022.

Masih segar dengan kejayaan menjuarai Kejohanan AFF B-19 Tahun di Bekasi, skuad kendalian Hassan Sazali Waras akan mengikuti dua latihan pusat bermula 28 Julai hingga 2 Ogos sebelum menyertai Kejohanan Newspaper Cup di Vietnam dari 5 hingga 11 Ogos.

 

Kejohanan ini akan digunakan sebagai persiapan sebelum menghadapi Kelayakan Piala Asia AFC B-20 Tahun di Mongolia pada penghujung September.

Sementara itu, teka-teki berhubung siapa bakal mengisi kekosongan jawatan ketua jurulatih skuad  B-23 masih belum terjawab apabila Jawatankuasa Teknikal dan pasukan kebangsaan masih dalam proses menilai untuk melantik jurulatih baharu selepas posisi itu ditinggalkan Brad Maloney.

Skuad senior kebangsaan juga akan kembali menyertai kem latihan pusat bermula dari 15-27 September dan akan menyertai Pertandingan Empat Penjuru di Hatyai atau Pattaya, Thailand pada 22-25 September.

Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, pasukan yang akan diuji skuad kebangsaan dalam kejohanan jemputan ini adalah pasukan yang mempunyai ranking lebih tinggi sama ada dari Asia Barat, Timur Tengah atau pun Amerika Latin.

Selain itu, beberapa perlawanan persahabatan juga akan diatur untuk ‘FIFA date’ pada November sebagai persiapan menghadapi Piala AFF Mitsubishi Electric yang dijadualkan pada 21 Disember 2022 hingga 17 Januari 2023.

Turut hadir dalam sidang media itu adalah Timbalan Presiden FAM, Datuk S.Sivasundram dan Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donnell.