AKSI suku akhir Piala FA 2022 antara Sri Pahang FC dan Penang FC pada Sabtu malam bukan sahaja mencari pemenang ke peringkat seterusnya tetapi lebih daripada itu.

Kemunculan semula Fandi Ahmad serta Dollah Salleh dan tidak dilupakan Zainal Abidin Hassan di Stadium Darul Makmur boleh diibaratkan reunion indah apabila trio sahabat karib itu pernah bersama-sama menabur bakti di bumi Pahang pada era awal 1990-an.

Banyak kenangan manis dilakar oleh mereka ini termasuk memenangi kejuaraan berganda Liga Perdana Bahagian Satu dan Piala Malaysia 1992 di Stadium Merdeka !

Dari kiri.. Fandi bersama, Zainal Abidin dan Dollah pernah bersama dalam skuad Tok Gajah pada era 1990-an. Foto kredit pemilik.

Uniknya, kehadiran Zainal Abidin yang pernah melatih Pahang pada kali ini adalah sebagai ‘musuh’ untuk 90 minit perlawanan apabila mereka kini dalam misi berbeza untuk menjulang kelab masing-masing mencari kemenangan.

Bagaimanapun, berdasarkan prestasi terkini dalam Liga Super, kedua-dua pasukan dilihat terkial-kial untuk memburu momentum kemenangan dan jadi agak sukar untuk meramal peluang ke separuh akhir yang masih terbuka.

The Panthers tewas tipis 0-1 kepada pendahulu semasa, Johor Darul Ta’zim (JDT) manakala Sri Pahang menelan kekalahan tumbang 2-1 semasa kunjungan di Gong Badak pada 3 Julai lepas.

Malah, Penang FC berada di tangga tercorot kempen liga dengan kutipan tujuh mata sementara Pahang hanya berkelebihan satu mata untuk menghuni kedudukan di atas kelab dari utara itu.

FLASH SUKAN pada Khamis melaporkan Kelab Bolasepak Sri Pahang mengumumkan pengurus pasukan Dollah telah dilantik sebagai ketua jurulatih interim pasukan Liga Super itu sehingga akhir musim ini.

Dia akan mengambil alih tugasan daripada Christophe Gamel yang tidak diteruskan khidmatnya sementara  legenda Singapura itu bertindak sebagai penasihat teknikal kelab.

Persoalan timbul, formula siapakah lebih ajaib dalam pertemuan genting di Kuantan nanti.

Adakah gandingan Fandi dan Dollah boleh menceriakan penyokong setia  Tok Gajah atau pun Zainal Abidin yang baru sahaja mengemudi Penang FC dalam beberapa perlawanan dapat membawa pasukannya gah ke separuh akhir untuk bertemu pemenang sama ada JDT atau Melaka United FC di fasa empat terakhir.

Jangan lupa saksikan pertembungan penuh dramatik dan 1001 kisah yang pasti menjanjikan elemen penuh debaran serta emosi.