PERGI dengan niat untuk menjadi juara!”

Demikian amanat yang disampaikan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin pada sesi pertemuan dengan barisan pemain dan pegawai pasukan B-16 kebangsaan kendalian Osmera Omaro di Wisma FAM, Kelana Jaya, pagi Jumaat.

Skuad Harimau Malaya B-16 sedang menjalani latihan pusat sejak Isnin lalu sebagai persiapan bagi menghadapi Kejuaraan B-16 AFF 2022 di Yogyakarta, Indonesia dari 31 Julai hingga 12 Ogos 2022.

Majlis perjumpaan itu turut dihadiri oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi; Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell dan Exco FAM, Christopher Raj yang juga pengurus pasukan berkenaan.

Menurut Hamidin, keyakinan beliau itu berdasarkan kelompok pemain B-16 yang terbaik dimiliki pasukan ini yang diadun bersama pengalaman barisan kejurulatihannya.

“Saya rasa pasukan ini boleh pergi jauh. Dengan pengalaman dimiliki barisan kejurulatihan dan juga pemain terbaik yang kita ada, kita boleh melepasi peringkat separuh akhir dan seterusnya ke final.

“Jika berjaya muncul juara, ia sesuatu yang bagus kerana ini antara pasukan masa depan kita. Kalau kita nak pergi ke peringkat ke lebih tinggi, kita perlu meningkatkan lagi pengetahuan dan pengalaman.

“Sudah tentu, komitmen tinggi setiap pemain dan pegawai dalam dan luar padang akan menghasilkan kejayaan kepada pasukan. Tekanan pasti ada tetapi saya yakin, pasukan ini memiliki kualiti. Saya doakan pasukan ini berjaya,” kata Hamidin.

Malaysia akan memulakan saingan Kumpulan C bertemu Kemboja pada 2 Ogos, diikuti aksi berikutnya berdepan Myanmar pada 5 Ogos dan Australia pada 8 Ogos 2022.