TUMPUAN malam ini pasti terarah kepada aksi suku akhir Piala FA apabila Sabah FC melayan kunjungan pelawat, Selangor FC bagi menempatkan slot ke peringkat separuh akhir.
Sabah FC jelas berada pada momentum terbaik untuk meneruskan kemaraan setelah kemenangan yang dicatat menewaskan Terengganu FC dalam saingan Liga Super sebelum ini.
Manakala, prestasi Selangor FC pula jelas tidak begitu konsisten apabila gagal menjelmakan kemenangan buat pasukan meskipun dilatih DNA Jerman.
Aspek taktikal jelas menunjukkan Datuk Ong Kim Swee menerapkan elemen menyerang dan bertahan dalam skuad sejak beliau mengambil alih posisi sebagai pengendali The Rhinos.
Sementara, Gergasi Merah tetap dengan taktikal sama yang digunakan Michael Feichtenbeiner iaitu melakukan ‘high pressing‘. Namun, ia kadangkala mengundang padah kerana akibat terlalu fokus kepada serangan bahagian pertahanan menjadi goyah.
Dari segi rekod , lima pertemuan terakhir menyaksikan sedikit kelebihan memihak Sabah FC dengan dua kemenangan manakala satu kemenangan bagi Selangor FC.
Secara keseluruhan, kemampuan kedua-dua pasukan dilihat seimbang. Bagaimanapun, pasukan yang mampu memanfaatkan peluang yang terhidang akan lolos ke separuh akhir.
Rata-rata penyokong Sabah FC pastinya mengharapkan sentuhan Kim Swee mampu membawa pasukan sekali lagi mara ke separuh akhir selepas kali terakhir dilakukan dalam Piala FA 1998.
Manakala, penyokong Gergasi Merah dilihat sudah muak dengan prestasi ‘suam-suam kuku’ yang dipersembahkan anak buah Michael Feichtenbeiner. Ia juga menimbulkan persoalan mengapakah pengurusan masih mengekalkan DNA Jerman.