PENANG FC yang kembali diperkuat Endrick Dos Santos mempamerkan aksi bertenaga bangkit menyingkirkan cabaran Sri Pahang 5-2 dalam aksi suku akhir Piala FA di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.
Dua layangan kad merah menghiasi drama di Kuantan pada saingan yang berat sebelah selepas tuan rumah terpaksa bermain sembilan pemain.
Namun, Tok Gajah terlebih dahulu tampil garang dengan tidak menunggu lama mendapatkan gol pertama hasil tandukan Steven Rodriguez seawal minit ke-10 sebelum Azwan Aripin menggandakan kelebihan tuan rumah menerusi rembatan kencang luar kotak penalti selang 10 minit kemudian.
Pemain sayap, T Saravanan merapatkan kedudukan untuk Penang FC sebelum tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua permainan terus rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam usaha menambah gol.
Usaha tidak putus asa anak didik Zainal Abidin Hassan mencari jaringan penyamaan tercapai menerusi pemain gantian, berjaya mengikat kedudukan 2-2 hasil tandukan Hilal El-Helwe untuk mengheret perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.
Malang menimpa skuad Tok Gajah apabila terpaksa beraksi dengan sembilan pemain atas padang selepas pemain pertahanan, Ashar Al Aafiz diperintahkan keluar padang selepas menerima kad merah pada masa kecederaan serta Manuel Hidalgo yang berdepan nasib sama.
Kesempatan itu dimanfaat sepenuhnya pemain The Panthers meledak dua gol lagi menerusi Lucas Silva m-96 disusuli gol Hilal El-Helwe yang menambah gol keempat Penang FC dan sisa kebangkitan Pahang diranapkan gol kelima oleh K Thivandaran.
Kelab dari utara itu akan bertemu Johor Darul Ta’zim saingan separuh akhir di Stadium Sultan Ibrahim.