PEMAIN pertahanan Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar mengakui komunikasi yang baik antara rakan sepasukan antara faktor kemenangannya ke atas Sabah FC pada saingan suku akhir Piala FA di Stadium Likas, Sabtu malam.
Jelasnya, dia hanya mengikut taktikal yang diterapkan jurulatih dan cuba untuk mempamerkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.
“Saya rasa perlawanan hari ini memang kita bermain dengan baik. Alhamdulillah kita bangkit daripada persembahan sebelum ini, terus cuba buat yang terbaik dan kita berjaya ke separuh akhir.
“Komunikasi saya dengan barisan pemain yang lain adalah baik. Saya tahu bermain di tempat lawan bukan sesuatu yang mudah. Saya hanya berikan yang terbaik.
“Kita cuba adaptasi taktikal yang diterapkan jurulatih, dan alhamdulillah hari ini taktikal kita menjadi,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Mengulas aksi seterusnya di peringkat separuh akhir Piala FA, Sharul Nazeem mengakui Terengganu FC memiliki jentera serangan yang baik.
Disebabkan itu, dia menyifatkan perlu bekerja lebih keras dalam pertemuan menentang Sang Penyu kerana pasukan lawan memiliki beberapa penyerang yang mempunyai tubuh yang lebih tegap dan mampu membuat serangan pantas.
“Kita kena kerja lebih keras, jaga posisi masing-masing. Kena ‘mark’ pemain-pemain tertentu. Kita juga kena patahkan serangan terutama dari Kpah Sherman dan Mickey sebab kita tahu dia laju dan macam Sherman yang mempunyai kelebihan dari segi fizikal,” tambahnya.
Pada aksi penting ini, Selangor FC mara ke separuh akhir selepas berjaya merakam dua gol tanpa balas menerusi Hyuri dan Herlison Caion.