KETUA jurulatih interim Sri Pahang FC, Dollah Salleh akui para pemain mempamerkan aksi terbaik khusus pada 35 minit awal di babak pertama.
Namun, kegagalan mengawal disiplin permainan atas padang menyebabkan skuad Tok Gajah itu terpaksa gigit jari kempen Piala FA musim ini.
“Kita di separuh masa pertama bermain dengan baik dan cuma kita buat kesilapan pada minit terakhir melepaskan gol untuk Penang FC.
“Jadi dekat situlah semangat juang dalam separuh masa kedua agak berbeza dibandingkan di separuh masa pertama.
“Saya cuba bangkitkan semula sebab corak permainan kita terus berubah di separuh masa kedua,” kata jurulatih berusia 58 tahun itu selepas tamat permainan di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Sabtu.
Menurut legenda bola sepak Malaysia itu, mereka bermain begitu baik sekali cuma pemainnya kena faham bahawa setiap satu detik, satu saat, satu minit adalah penting dan harus disiplin dalam padang.
“Itu yang kita kurang dalam separuh masa kedua,” ujarnya lagi.
Sri Pahang FC kini kembali menumpukan saingan Liga Super dalam usaha memperbaiki kedudukan lebih baik dengan melayan kunjungan Selangor FC pada Rabu ini.