FORMAT perlumbaan Sprint F1 kembali semula untuk tahun kedua musim 2022 ini dengan beberapa perubahan termasuk sistem mata terkini dan beberapa litar baharu.
Berdasarkan penilaian tiga perlumbaan Sprint tahun lalu, FIA telah membuat keputusan untuk mengekalkan jumlah acara yang sama untuk 2022 selepas mengambil kira tekanan yang dihadapi pasukan ekoran perubahan peraturan aerodinamik.
Venue untuk perlumbaan Sprint juga turut berubah dengan Litar Imola dan Red Bull Ring mendapat peluang untuk melakukan format ini menggantikan Litar Monza dan Silverstone manakala hanya Grand Prix Sao Paulo di Litar Interlagos yang dikekalkan.
Seperti tahun lalu, perlumbaan Sprint ini adalah perlumbaan 30 minit pada Sabtu sejauh 100 kilometer (km) tanpa hentian pit wajib dan pemandu akan memandu sepantas mungkin ke garisan penamat.
Bagaimanapun, tahun ini menjanjikan lebih banyak mata apabila lapan pelumba teratas bakal dianugerahkan mata berbanding hanya tiga tempat teratas sebelum ini.
Pemandu yang mendapat tempat pertama kini akan mendapat lapan mata berharga berbanding tiga dan kiraan mata ini dikira di dalam kejuaraan pemandu dan juga pengeluar.
Juga seperti musim lalu, turutan penamat perlumbaan Sprint akan menentukan grid permulaan untuk perlumbaan utama pada Ahad yang masih mengekalkan format tradisional.
Tidak seperti kebiasaan, sesi kelayakan akan dilakukan pada sebelah petang jumaat dengan pelumba terpantas bakal memulakan perlumbaan Sprint di petak utama manakala pemenang Sprint akan bermula di hadapan untuk perlumbaan Grand Prix.
Sesi latihan bebas juga dikurangkan kepada dua berbanding tiga dengan sesi latihan satu dijalankan pada pagi Jumaat dan sesi latihan tiga dijadikan pada pagi Sabtu sebelum perlumbaan Sprint.
Siapakah bakal bergelar juara Sprint pertama musim ini. Saksikan Grand Prix Emilia Romagna di Litar Imola hujung minggu ini.