SKUAD sepak takraw negara perlu segera bangkit menampilkan permainan lebih meyakinkan apabila bertemu Jepun dalam aksi kedua Piala Raja Thai ke-35 di Bangkok, Isnin petang ini.
Semalam, pasukan lelaki Malaysia bermula langkah kiri tewas, 18-21, 15-21 kepada Korea Selatan dalam saingan acara antara regu Kumpulan B Divisyen Perdana di Bangkok.
Menurunkan Zulkifli Razak/Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong), Azlan Alias/Afifuddin Razali (perejam) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan) tetapi gagal menyaingi keunggulan pihak lawan.
Tinjauan di Facebook Persatuan Sepaktakraw Malaysia – PSM dapati rata-rata peminat masih menaruh kepercayaan skuad negara meraih kemenangan sulung.
Hantaran Zamri Ali Zamri menulis : “Ayuh bangkit regu lelaki untuk mencapai kemenangan. Jangan putus asa, teruskan usaha dan perjuangan. Kami dari kejauhan titip doa untuk semua pemain kebangsaan kita.”
DRahmat Chitmata pula menggesa pemain libas negara kena pandai bermain macam Thailand.
“Killer kena gulung habis ala Thai. Tak padu dan payah nak menang,” ujarnya.
Selepas bertemu Jepun, mereka akan berseteru dengan Chinese Taipei hari yang sama.
Sementara itu, menurut syarat Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), setiap negara termasuk tuan rumah dihadkan menyertai hanya tiga daripada lima acara kategori lelaki dan wanita.
Sementara itu, skuad wanita bermula cemerlang menumpaskan regu Kemboja, 21-13, 21-2 namun selepas itu kalah secara berturut-turut kepada Vietnam (9-21, 10-21), Korea (18-21, 15-21) dan Vietnam (4-21, 18-21).