PERTEMBUNGAN klasik Kuala Lumpur City FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Rabu di Cheras seakan mengimbas kembali nostalgia kedua-dua pasukan yang hebat berseteru atas gelanggang.
Walaupun pada era ini, suasana sebegitu mungkin tidak lagi panas, namun tetap menghadirkan elemen ‘lain macam’ setiap kali mereka bertemu tidak kira di Alor Setar mahupun di stadium tempat Kuala Lumpur beraksi.
Bekas penyerang Kedah, Faridzuan Che Hamid ketika dihubungi FLASH SUKAN mengimbas kembali detik manis semasa bergelar penyerang handalan Sang Kenari pada awal pembabitan kariernya setiap kali berdepan pasukan Kuala Lumpur.
“Separuh akhir kedua Piala Malaysia 1992 di Kedah saya skor tiga biji ke gawang Kuala Lumpur.
“Saya juga bangga pada zaman kami bermain kerana seingat saya stadium tak pernah tiada orang. Setiap kali kami bermain sentiasa penuh dengan peminat,” katanya yang kini menetap di kampung kelahirannya, Langkawi.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Legasi Kedah, Mohamad Hazriq Fahimy Abdullah menilai pertemuan Kedah menentang Kuala Lumpur ini memang antara yang dinantikan kerana sentimental value dan sejarah pertemuan itu sendiri sejak lewat 80-an hingga kini.
“Boleh dikatakan antara musuh tradisi Kedah juga tambah luka kita tewas secara hatrik dari 1987 hingga 1989 dalam final Piala Malaysia masih terasa hingga kini.
“Namun selepas era itu, kita bangkit dengan Kedah yang banyak mendominasi kemenangan ke atas Kuala Lumpur. Sejarah lapan pertemuan terakhir, kita mempunyai lima kemenangan berbanding mereka dengan tiga.
“Namun sejarah tetap tinggal sejarah. Kini kita perlu fokus untuk terus mencatat kemenangan untuk terus memperbaiki kedudukan liga.
“Jangan ambil mudah pertemuan ini dan setiap pemain harus memberikan aksi yang terbaik dari mereka untuk merebut tiga mata. Kita sentiasa positif dengan kemampuan mereka.
“Semoga tiga mata menjadi milik Kedah,” katanya.