KELEGAAN  jelas terpancar pada wajah penyerang Terengganu FC, Kipre Tchetche setelah menamatkan kemarau jaringan ketika mengalahkan Kuching City dalam aksi Piala FA, Sabtu lalu.

Tchetche, 34, sebelum itu mengharungi lapan perlawanan tanpa sebarang gol dengan kali terakhir menggegarkan gawang lawan pada 22 April lalu sewaktu bertemu Selangor.

Namun pemain berasal Ivory Coast itu membuktikan sentuhannya masih berbisa hasil dua jaringan menarik sekaligus membantu Terengganu mara ke separuh akhir Piala FA.

“Saya cukup teruja untuk bermain di hadapan lebih 20,000 penyokong sendiri yang meletakkan harapan tinggi untuk menyaksikan kemenangan berpihak kepada Terengganu.

Saya juga gembira dengan prestasi saya dan dengan pasukan ini. Laluan kami bukan mudah bertemu Negeri Sembilan FC dan Kedah Darul Aman di pusingan awal sebelum ini.

“TFC kini semakin menghampiri final dan hanya selangkah untuk merealisasikan impian itu. Apa yang penting kami dapat mengekalkan fokus,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.

Menurut Tchetche,  dia bertekad membantu TFC ke pentas final dan membawa pulang Piala FA musim ini selepas terlepas trofi Piala Malaysia di bawah kendalian Irfan Bakti Abu Salim, empat tahun lalu.

“Sudah menjadi sasaran pemain dan penyokong untuk membuat penampilan pada perlawanan akhir. Saya sendiri memang mahu mengubati kekecewaan dan menebus kehampaan 2018,” ujarnya.