LIGA Super 2022 kembali bersambung dengan enam aksi menarik selepas memberi laluan kepada peringkat suku akhir Piala FA dengan kesemua 12 pasukan pastinya mempunyai matlamat masing-masing dalam perlawanan esok.

Sabah FC akan bertandang ke Petaling Jaya untuk bertemu PJ City FC dan selepas dikecewakan dengan gol saat akhir apabila tumpas kepada JDT, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee sudah pasti mahu kembali bangkit mencari kemenangan.

Hanya tiga mata dapat memastikan Sabah mengekalkan momentum untuk mencabar Johor Darul Ta’zim (JDT) di puncak liga manakala PJ City masih tercari-cari kemenangan selepas kali terakhir melakukannya pada April lalu.

Melaka United yang juga dibolosi pada saat akhir oleh JDT dalam saingan Piala FA pasti mahu melakar keputusan positif apabila menentang Penang FC kerana mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri.

Namun anak-anak buah Asri Ninggal perlu lebih bersedia kerana Penang FC sudah mula mendapat rentak selepas berjaya layak menumbangkan Sri Pahang di Kuantan dengan para skuad Harimau Kumbang pasti mahu keluar dari tangga terbawah liga.

Sri Pahang pula terpaksa berhadapan Selangor FC yang dilihat semakin bertenaga selepas mencatat kemenangan demi kemenangan dan sudah pasti Sri Pahang perlu melakukan sesuatu yang istimewa untuk menghalang kemaraan Gergasi Merah dalam aksi di Kuantan.

‘The Red Giants’ yang cemerlang dalam perlawanan piala perlu meneruskan rentak dalam liga kerana hanya kemenangan dapat melonjakkan kembali King of Malaya kepada kedudukan yang lebih baik untuk mengembalikan keyakinan penyokong.

Selepas tewas 2-1 kepada Kedah Darul Aman, kini Sarawak United akan bertemu pula dengan juara lapan kali, JDT di laman sendiri. Rekod pertemuan nyata tidak memihak kepada skuad Bujang Senang namun mereka perlu berjuang sehabis baik untuk menyekat kemaraan JDT.

Harimau Selatan pula sedang berada pada tahap terbaik dengan siapa pun pemain yang diturunkan berjaya memberikan tiga mata penuh meskipun ini adalah perlawanan kelima berturut-turut di laman lawan.

Aksi di Cheras bakal menemukan Kuala Lumpur City dan Kedah Darul Aman dengan KL City sedang bergelut untuk kembali ke prestasi sebenar. Pertemuan ini juga boleh digelarkan sebagai gambaran awal perlawanan akhir Piala FA zon ASEAN jika kedua-dua pasukan berjaya melepasi peringkat seterusnya.

Kedah pula ingin mengekalkan momentum kemenangan selepas menewaskan Sarawak United minggu lalu dengan para penyokong Sang Kenari semakin menekan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak untuk mempamerkan aksi yang lebih bertenaga dan meyakinkan.

Setelah berehat hampir sebulan, Negeri Sembilan kembali beraksi dan kali ini akan menerima kunjungan Terengganu FC. Skuad Jang yang boleh dikatakan ‘surprise package’ untuk musim ini dilihat mampu memberikan kekalahan kedua berturut-turut dalam liga buat Terengganu FC.

Anak-anak buah Nafuzi Zain pula pastinya mahu menggunakan momentum kemenangan di Piala FA sebagai pemangkin untuk kembali di landasan terbaik dalam saingan liga selepas tewas kepada Sabah.

Enam perlawanan ini akan memperlihatkan perubahan dalam carta liga terutama di bahagian pertengahan dan juga zon relegasi dengan pasukan di tangga keempat dan ke-12 hanya dipisahkan dengan 10 mata.

Meskipun tiada penyingkiran liga diadakan bagi menyesuaikan dengan perubahan struktur Liga Malaysia musim hadapan, namun dua tangga terbawah perlu dielakkan demi maruah pasukan.