KELAB PJ City FC meneruskan usaha mereka menyantuni masyarakat dan komuniti Petaling Jaya apabila hadir memberikan sokongan kepada pertandingan bola sepak B-12 tahun yang dianjurkan Persatuan Bolasepak Daerah Petaling.
Kejohanan itu berjaya menarik penyertaan dari 68 buah sekolah dan lebih 1,200 pemain dari seluruh Selangor dan Kuala Lumpur dalam usaha mencari bakat-bakat baharu dalam bola sepak remaja.
Selain dari turun memberikan sokongan, tiga pemain skuad The Phoenix, Darren Lok, Sunil Chandran dan Filemon Anyie turut hadir untuk beramah mesra dan berkongsi kata-kata semangat dan motivasi kepada semua pemain yang mengambil bahagian.
Turut hadir adalah Pengurus Pasukan, Rajendran Kanhiah dan Pengarah Teknikal, Steve Jackson yang sama-sama memberikan cenderahati kepada pasukan yang bertanding.
Konsep Yakini Lokal yang digunakan PJ City dipuji banyak pihak dan usaha mencari bakat-bakat baharu menerusi kejohanan tempatan ini dilihat sebagai salah satu cara PJ City berhubung dengan masyarakat setempat terutama komuniti Petaling Jaya.
Ianya akan membuka ruang kepada pemain yang berbakat untuk meneruskan karier mereka ke peringkat tertinggi dan juga komuniti ini akan menjadikan PJ City sebagai kelab yang perlu disokong sebagai lambang kebanggaan Petaling Jaya.