SIAPA sangka hanya menemani emaknya bermain futsal di peringkat MAKSAK, kini Nurfarisya Hanim Muhamad Zaki pula yang bergelar pemain bola sepak wanita kebangsaan.

Memulakan karier pada usia 14 tahun, Farisya kini mewakili pasukan kebangsaan dalam Kejuaraan AFF Wanita B-18 di Palembang, Indonesia.

Menurut Presiden Kelab Bolasepak Red Eagle – Red E’Girls, Irwan Rashidi yang mengesan bakat terpendam anak kelahiran Sik, Kedah itu, Farisya pemain yang ingin belajar dan tidak kenal erti putus asa.

“Tidak syak lagi Farisya yang berketinggian 158 cm adalah akademi kami yang menyinar dan kini mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Poster wajah Farisya menerusi info grafik Facebook FAM.

“Dia ada sertai satu pertandingan di Jepun dan masa lawan Singapura berjaya menjaringkan gol dan namanya mula naik selepas itu.

“Sebagai jurulatih, saya berbangga kejayaannya dan harap dapat berkembang lagi di masa depan,” ujarnya diminta mengulas prestasi pemain berposisi tengah itu.

Menurut Irwan, selain mengemudi jentera tengah pasukan Farisya sebenarnya boleh bermain di pelbagai posisi mengikut acuan yang diterapkan jurulatih.

“Dia No. 8 boleh, No. 10, No. 7, No 11,” ujarnya mengalu-alukan ibu bapa untuk menghantar anak perempuan mereka ke akademinya berpusat di Jitra bagi menjalani latihan bola sepak.

Farisya antara 23 pemain Malayan Tigress B-18 tersenarai bagi menggalas cabaran di Palembang bermula 22 Julai hingga 4 Ogos 2022.

Terdahulu, skuad bimbingan Kok Keng Lin bermula langkah kiri tumpas 0-2 kepada Myanmar dalam aksi pembukaan Kumpulan B.