PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menyatakan amat sukar buat dirinya untuk menentukan kesebelasan utama untuk menentang PJ City FC selepas beberapa pemain dilanda kecederaan.

Hanyalah pada saat-saat terakhir dia berjaya mengatur para pemainnya dan gembira apabila kesemua pemain bermain mengikut arahan dan akhirnya berjaya membawa pulang tiga mata penuh.

Kim Swee juga berkata keyakinan yang ada pada pemainnya menjadi faktor utama kemenangan semalam sekaligus mengekalkan momentum kemenangan dalam liga dan percaya Sabah FC mampu bertahan hingga ke penghujung musim.

“Saya terpaksa menunggu hingga minit-minit terakhir untuk menamakan kesebelasan utama. Kami datang dengan 22 orang pemain. Park Tae Su dan Baddrol Bakhtiar kurang cergas dan ianya menyukarkan saya untuk menetapkan pemain.

“Namun saya gembira dengan persembahan yang ditunjukkan oleh pemain yang diberikan kepercayaan untuk bermain terutama yang pertama kali diturunkan.

“Percaya tentang kekuatan kita dan mempercayai satu sama lain walaupun bermain untuk satu unit dalam jangka masa yang pendek tetapi mereka menunjukkan komitmen yang cukup tinggi,” jelasnya pada sidang media.

Bekas pemain Sabah FC era 90-an itu turut berkata dia akan menilai dahulu keadaan pemain sebelum membuat persediaan menentang Melaka United kerana mereka sudah beraksi dalam empat perlawanan dalam tempoh 11 hari.

Tiga mata ini juga dianggap sangat penting bagi memastikan Sabah FC dapat terus memberikan tekanan kepada pendahulu semasa, Johor Darul Ta’zim untuk mencabar kejuaraan Liga Super musim ini.