PENJAGA gol Selangor FC, Sam Sommerville berazam mempamerkan aksi terbaik sekiranya diberi kepercayaan Michael Feichtenbeiner dalam aksi bertemu Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super malam ini.
Dia yang menunjukkan prestasi konsisten setelah menggantikan Khairulazhan Khalid menegaskan yang lebih penting bagi Selangor FC pada ketika ini adalah mencapai kemenangan.
Mengulas komen peminat, dia berkata peminat juga harus mengetahui setiap pemain yang mencurah keringat di dalam padang adalah manusia biasa dan bukannya robot.
“Janji saya kepada peminat adalah sentiasa memberikan yang terbaik dan mencuba sebaik mungkin mengeluarkan bola daripada gawang. Bagi saya, paling penting adalah mendapat tiga mata. Selebihnya, mendapatkan clean sheet adalah bonus.
“Saya rasa dengan media sosial sekarang ini ia sangat mudah untuk log in tanpa menggunakan gambar sendiri. Mereka menulis komen negatif ketika beremosi selepas tamat perlawanan. Sosial media ini memiliki banyak elemen positif tetapi turut terdapat sisi negatifnya.
“Untuk pengetahuan umum, apapun keputusan perlawanan, kita bukanlah robot, kita adalah manusia dan kita sentiasa memberikan yang terbaik sewaktu melangkah ke padang, sokongan anda bermakna dunia kepada kami,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Dalam pada itu, Sam turut berkongsi rata-rata pemain di Malaysia sebenarnya memiliki kelebihan dari segi teknik berbeza dengan pemain di England yang lebih menggunakan aspek fizikal sebagai senjata ampuh mereka.
“Saya selalu cakap sejak berada di Malaysia mengambil kira semasa saya bermain di England, pemain di England memiliki struktur fizikal yang baik tetapi teknik pemain Malaysia lebih baik berbanding di England,” tambahnya.
Selangor FC bakal berdepan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super yang dilangsungkan di Stadium Darul Makmur dengan Gergasi Merah kini menghuni kedudukan kelima manakala pasukan tuan rumah berada di tangga kedua tercorot liga.