PENYOKONG setia Kedah Darul Aman (KDA) FC berharap pasukan mereka dapat mengekalkan momentum kecemerlangan aksi Liga Super menjelang pertemuan menentang Sabah FC di  Stadium Likas pada Ahad.

Pengerusi Kelab Legasi Kedah, Mohamad Hazriq Fahimy Abdullah berkata, semangat pemain Sang Kenari akan dibakar dengan kehadiran sekumpulan penyokong yang turut serta memberikan sokongan.

“Harapan kami semestinya kita mampu untuk mencatatkan kemenangan kelima bagi merebut singgahsana dan ini peluang memintas Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sedang beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia.

“Kami di Kelab Legasi Kedah (KLK) antara kelompok kelab penyokong akan turut serta terbang untuk ke sana Sabtu ini bagi memberikan sokongan yang tak berbelah bahagi kepada pasukan

“Semoga kehadiran kami dan juga sokongan seluruh penyokong Kedah dimana-mana sahaja akan memberikan inspirasi buat para pemain sajikan yang terbaik di padang,” katanya kepada Flash Sukan.

Aidil berjaya meletakkan Sang Kenari pada paras lebih baik musim ini. FOTO – KDA FC

Mohamad Hazriq Fahimy berkata,  mereka meyakini sentuhan dimiliki jurulatih Aidil Sharin Sahak yang sudah berpengalaman bersama pasukan untuk beberapa tahun dan ada yang berjaya menuaikan hasil.

“Permulaan kita cukup baik sebelum tewas kepada Selangor FC dan bangkit kembali pada perlawanan mengalahkan Penang FC baru-baru ini. Cuma, kami sebagai peminat  berharap coach Aidil  terus dapat menstabilkan pasukan terutamanya di bahagian pertahanan agar persefahaman dan konsentrasi terus dipertingkatkan.

“Untuk mencabar JDT bagi saya kita kena perkemaskan lagi pasukan kita. Apapun saya yakin kita boleh memberikan saingan kepada mereka,” katanya lagi.